Anda di sini

Empat cedera dalam kemalangan di Tawau

Advertisement
 Pasukan bomba mengangkat mangsa untuk dibawa ke hospital menerima rawatan lanjut.
CEDERA: Pasukan bomba mengangkat mangsa untuk dibawa ke hospital menerima rawatan lanjut.

TAWAU: Empat cedera termasuk dua parah selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Batu 3 Jalan Apas, di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.35 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kemalangan membabitkan dua buah kereta bertembung dan terbabas masuk ke dalam parit.

“Terdapat empat mangsa masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 30 tahun terlibat dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, semua mangsa mengalami kecederaan termasuk dua daripadanya parah telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

Katanya, pasukan bomba dan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan awal kepada semua mangsa yang cedera.

“Semua mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulan untuk menerima rawatan lanjut.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.08 pagi,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement