Anda di sini

Dua lelaki disabitkan mencuri didenda RM4,000

Advertisement
 

SIBU: Dua lelaki masing-masing dikenakan hukuman denda RM4,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi kesalahan mencuri bateri dari menara telekomunikasi di pekan Durin.

Sim Suk Chung, 35, dan Wong Gim Hing, 43, yang dibenarkan bebas setelah membayar denda masing-masing, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Majistret Romario Jonoi.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mencuri satu unit bateri dari sebuah menara telekomunikasi di pekan Durin pada 26 Februari 2024, kira-kira jam 3.34 petang.

Sehubungan itu mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 379 kanun yang sama yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda.

Sementara bagi kesalahan kedua dan seterusnya, hendaklah dikenakan hukuman penjara dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit dengan kesalahan.

Fakta kes menyatakan pada 28 Februari 2024 kira-kira jam 10 malam, di menara telekomunikasi di pekan Durin, pengadu mendapati satu unit bateri yang dipasang di sebuah generator telah hilang.

Berdasarkan rakaman litar tertutup (CCTV), dua lelaki tidak dikenali telah mencuri bateri terbabit selain merosakkan peralatan di menara berkenaan pada 26 Februari 2024, kira-kira jam 3.34 petang.

Pada 7 April 2024, kira-kira jam 12.10 tengah hari di belakang Balai Polis Sentral Sibu, pihak polis telah merampas satu unit bateri dari belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas dipandu arah oleh tertuduh.    

  • oleh
  • Advertisement