Anda di sini

Abang Johari bakal berucap pada forum menangani perubahan iklim di Poland

Advertisement
 

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus memperjuangkan agenda peralihan dan inisiatif tenaga Malaysia bagi menangani perubahan iklim di Eropah Tengah khasnya dan peringkat global amnya.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak hari ini, Abang Johari dijadual berucap sebagai ahli panel forum pada sesi yang dikenali 'Debate Regions for the Planet' di Poland dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari waktu tempatan pada 24 April.

Sebelum ini, media melaporkan Abang Johari sebagai berkata beliau akan bercakap mengenainya perspektif Sarawak dan Sarawak  setakat ini dalam melaksanakan inisiatif ke arah peralihan tenaga, keselamatan tenaga boleh diperbaharui, penyahkarbonan dan kelestarian alam sekitar.

Abang Johari serta rombongan dijadual berlepas ke Poznań, Poland esok (Jumaat) melalui United Kingdom (UK), atas jemputan Marshall Wilayah Wielkopolska, Poland, Marek Wozniak selaku penganjur Forum Teknologi Hidrogen Eropah Tengah dan Forum Penyahkarbonan Eropah Tengah dijadualkan diadakan di Poznań, Poland pada 24 dan 25 April.

Antara yang mengiringi Abang Johari ialah Timbalan Premeir Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Sementara itu, Abang Johari bakal menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor dari Sarawak dan Compound Semiconductor Applications Catapult di House of Commons, Parlimen United Kingdom, London.

MoU itu akan ditandatangani semasa Abang Johari transit tiga hari di UK sebelum berlepas ke Poznań, Poland bagi menghadiri forum berkenaan.

Kenyataan itu menambah, melalui MoU itu Sarawak berusaha untuk menjalin kerjasama dengan rakan kongsinya di UK bagi memacu inovasi yang akan membentuk semula keupayaan serta aplikasi semikonduktor kompaun diperbuat daripada dua atau lebih elemen berbanding silikon yang diperbuat daripada satu elemen.

Terdahulu, Abang Johari serta rombongan dijadual mengadakan lawatan ke loji Drax Power di Selby, Yorkshire Utara pada 21 April.

Loji Drax Power membekalkan 11 peratus daripada keperluan tenaga diperbaharui menggunakan biomas dalam bentuk pelet dengan menjana kapasiti 3,960 megawat.
 

  • oleh
  • Advertisement