Anda di sini

MBM diseru meriahkan lagi hiasan musim perayaan

Advertisement
HEE
HEE

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) perlu berusaha untuk menambah dan meningkatkan lagi hiasan untuk musim-musim perayaan yang utama di sekitar bandar raya ini, yang mencakupi kepelbagaian di Sarawak. 

Ketua Pemuda DAP Sarawak Peter Hee turut menggesa pihak MBM untuk memeriahkan lagi hiasan musim perayaan, khususnya di kawasan tumpuan pelawat dengan mengutamakan perayaan semua kaum.

Beliau memberitahu demikian semasa menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan hiasan perayaan di Miri, terutama sambutan Hari Raya Aidilfitri, dengan segelintir pihak mendakwa hiasannya agak 'sendu' berbanding perayaan lain, sebelumnya. 

Sehubungan itu, Hee turut menyeru MBM supaya mengutamakan perayaan semua kaum dan memastikan inti pati sebenar Sarawak yang berbilang budaya diterima semasa musim perayaan.

"Semasa saya mengadakan kunjungan Hari Raya ke kediaman rakan-rakan beragama Islam baru-baru ini, ramai meluahkan kekecewaan mereka dengan mengatakan bahawa semangat perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak diwakili secukupnya melalui kekurangan hiasan di bandar. 

"Kita perlu sedar bahawa Sarawak adalah sebuah negeri yang terdiri daripada pelbagai etnik, yang meraikan perayaan tradisi masing-masing.

"Justeru kepentingan keterangkuman dan keperluan untuk perayaan semua kaum, wajar dipertimbangkan oleh MBM," tambah beliau lagi. 

Hee turut menekankan peranan penting yang dimainkan oleh MBM dalam memupuk semangat perpaduan dan penghargaan budaya dalam masyarakat. 

"Dengan melabur dalam hiasan perayaan yang mencerminkan pelbagai perayaan kumpulan etnik yang berbeza, ia bukan sahaja akan menambah kemeriahan bandar tetapi juga memupuk rasa keterangkuman dan perpaduan yang lebih besar dalam kalangan penduduknya," jelas beliau.

Tambahnya, Miri, sebagai sebuah bandar raya pelancongan yang terkenal, sentiasa dipandang tinggi kerana budayanya yang bertenaga dan suasana yang mesra.

"Manakala perayaan memainkan peranan penting dalam menarik pelancong dan mempromosikan pemahaman budaya, dengan mempertingkatkan hiasan perayaan semasa majlis sebegini Miri boleh menjadi destinasi yang lebih menarik bagi pengunjung tempatan dan antarabangsa, sekali gus merancakkan industri pelancongan tempatan," ujar Hee.

"Adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan untuk mengutamakan perwakilan dan pengiktirafan semua majlis perayaan, menyumbang kepada perpaduan sosial dan keharmonian dalam masyarakat," tambah beliau lagi.

Advertisement