Anda di sini

Kematian anak KPD Lahad Datu berpunca tembakan di dada

Advertisement
 Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hj Khamis, di sini.
KEBUMI: Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hj Khamis, di sini.

LAHAD DATU: Polis mengesahkan kematian anak perempuan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu adalah berpunca daripada satu das tembakan di bahagian dada.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Shahurinain Jais berkata, keputusan itu diperoleh selepas proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Lahad Datu, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati hanya satu das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan tembakan berkenaan terkena pada bahagian dada kanan mangsa yang berusia 14 tahun terbabit.

Shahurinain memaklumkan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut atau SDR selepas siasatan mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kes ini.

Selain itu, katanya polis turut merampas sepucuk pistol semi automatik jenis Walther P99 yang dikaitkan dengan insiden berkenaan.

Shahurinain turut memaklumkan, tiga saksi sudah memberi keterangan bagi membantu siasatan polis namun beliau enggan mendedahkan identiti mereka.

Sementara itu, jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hj Khamis, di sini, kira-kira jam 5.30 petang sebaik selesai proses bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Lahad Datu.

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat orang adik beradik itu disembahyangkan di Masjid At Taqwa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Mengikut hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 3.16 petang itu mengesahkan hanya satu das tembakan dilepaskan dalam kejadian berkenaan.

Tembakan berkenaan terkena pada bahagian dada kanan mangsa yang mengenai organ paru-paru dan tembus di bahagian belakang badan.

Terdahulu, anak perempuan KPD Lahad Datu maut dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Mangsa ditemukan oleh kakaknya yang berusia 16 tahun dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumah mereka, pada 12.42 tengah hari, semalam.

  • oleh
  • Advertisement