Anda di sini

Cubaan bawa barang kawalan tanpa dokumen gagal

Advertisement
 Suspek dan barang kawalan yang dirampas dibawa ke ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
RAMPAS: Suspek dan barang kawalan yang dirampas dibawa ke ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas didapati membawa pelbagai barang kawalan disyaki tanpa dokumen pengisytiharan di kedudukan 0.4 batu nautika selatan Jeti CIQ Tawau, di sini semalam.

Suspek warga tempatan berusia 37 tahun itu ditahan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menerusi Op Khas Pagar Laut dan Op Tiris, kira-kira jam 1.15 petang.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai aktiviti pemunggahan barangan runcit di kawasan Jeti CIQ Tawau.

Katanya, bot peronda Maritim Malaysia telah diaturgerak untuk menjalankan pemeriksaan dan menemukan sebuah bot yang sarat dengan muatan barang runcit.

“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan, menemukan 200 kilogram beras, 10 kotak minyak masak, 204 kilogram gula pasir, tiga gelen petrol dan tiga tong gas LPG disyaki untuk pasaran di Pulau Sebatik.

“Juragan bot terbabit turut gagal mengemukakan dokumen pengisytiharaan kastam berkaitan barangan yang dibawa dan tidak mempunyai lesen runcit beras,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, juragan, bot serta muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin dan barang kawalan berkenaan disita, manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM27,000,” katanya.

Katanya, modus operandi peniaga membawa barangan runcit dalam kuantiti yang kecil secara berulang perlu dibanteras bagi mengelakkan sindiket penyeludupan membawa barang kawalan ke negara jiran.

Shahrizan berkata, penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau.

“Maritim Malaysia memandang serius segala aktiviti jenayah rentas sempadan. Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa bagi menghadapi sebarang situasi.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement