Anda di sini

Pemandu maut, penumpang cedera SUV rempuh belakang lori

Advertisement
Mangsa yang terselamat dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa yang terselamat dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

MIRI: Seorang pemandu maut manakala penumpangnya cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah lori di Jalan Airport di sini, hari ini.

Mangsa, Mohd Firdauz Chemat, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa yang cedera merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.    

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 2.20 petang.

Sehubungan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral telah bergegas ke lokasi yang sejauh sembilan kilometer dari balai.

"Setiba di lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati benar berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah SUV dan sebuah lori.

"Terdapat dua orang mangsa iaitu seorang lelaki dewasa (pemandu) dan seorang kanak-kanak lelaki (penumpang) dalam kenderaan tersepit di tempat duduk hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

Setelah penilaian dilakukan berkonsepkan penyelamat, komander operasi kemudian mengarahkan PKO melakukan kerja-kerja mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

"Sebaik dikeluarkan, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Miri dengan menaiki kenderaan EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) untuk mendapatkan rawatan segera.

"Manakala pemandu kenderaan terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," ujarnya.

Advertisement