Anda di sini

Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah di Putrajaya Oktober ini

Advertisement
 Joniston (belakang, tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jimit (belakang, kanan), Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu Mejin Manginggow (belakang, kiri) merakamkan kenangan bersama penerima sijil penghargaan pada majlis itu.
PENGHARGAAN: Joniston (belakang, tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jimit (belakang, kanan), Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu Mejin Manginggow (belakang, kiri) merakamkan kenangan bersama penerima sijil penghargaan pada majlis itu.

KIULU: Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah 2024 akan diadakan buat julung kalinya di luar Sabah iaitu di IOI City Mall Putrajaya pada Oktober depan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar  Datuk Joniston Bangkuai berkata, sudah tiba masanya untuk pengendali pelancongan berasaskan komuniti tempatan keluar dari zon selesa mereka dengan meneroka pasaran yang lebih besar.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) ini berkata, acara berkenaan bakal menawarkan pakej destinasi luar bandar yang lebih baik untuk pasaran baharu kepada para pengendali pelancongan dan pengusaha produk pelancongan luar bandar.

Menurutnya, seramai 26 pengusaha pelancongan berasaskan komuniti dan 40 usahawan swasta dijangka menyertai program itu.

Selain itu katanya, Program Mentor dan Mentee akan diperkenalkan di Kiulu yang menyediakan platform kepada pengusaha pelancongan yang berjaya berkongsi kisah kejayaan mereka dengan pendatang baharu dalam industri berkenaan.

"Pihak STB sedang mengenal pasti mentor dan mentee untuk program ini dan sesi berkenaan akan dilakukan secara berperingkat,” katanya pada majlis penyerahan panel skrin dan Program Penghargaan Persatuan Pelancongan Kiulu 2024 di sini semalam.

Pada majlis itu, Joniston turut mengumumkan tiga pengendali produk pelancongan luar bandar Sabah disenarai pendek untuk Akreditasi Standard Pelancongan Asean tahun ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga pengendali pelancongan berkenaan termasuk Pelancongan Eko Murug-Turug, Pelancongan Eko Lingga dan Pelancongan Eko Bambangan Lama yang berjaya memenuhi 10 kriteria ditetapkan untuk anugerah berprestij itu.

"Kriteria utama penekanan kepada pengurusan, hala tuju perniagaan, prosedur operasi standard dan bagaimana aktiviti pelancongan akan memberi kesan kepada ekonomi tempatan.

"Paling penting, semua ini mesti didokumentasikan," katanya sambil menambah pemenang anugerah itu akan mengukuhkan reputasi antarabangsa Sabah yang semakin meningkat untuk pelancongan luar bandar.
 

  • oleh
  • Advertisement