Anda di sini

Jambatan kabel Miri jambatan ikonik kedua 

Advertisement

Akan jadi jambatan ikonik kedua selepas Darul Hana di ibu negeri yang jadi tarikan pelancong

Tun Wan Junaidi dan isteri (enam dan lima kiri) memotong kek sambutan bersama-sama dengan Abang Johari (enam kanan) dan Juma'ani (empat kiri) serta Abdillah (lima kanan) sambil disaksikan yang lain. - Gambar Penerangan
Tun Wan Junaidi dan isteri (enam dan lima kiri) memotong kek sambutan bersama-sama dengan Abang Johari (enam kanan) dan Juma'ani (empat kiri) serta Abdillah (lima kanan) sambil disaksikan yang lain. - Gambar Penerangan

MIRI: Cadangan pembinaan jambatan kabel menyeberangi Sungai Miri dan menghubungkan Pulau Melayu dengan pusat komersial Marina bakal menjadi ikon di Miri apabila ia siap kelak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, mercu tanda di bandar peranginan Miri di utara Sarawak ini akan menjadi jambatan ikonik kedua selepas Darul Hana di ibu negeri yang menjadi tarikan pelancong.

“Kita telah meluluskan (pembinaan) jambatan yang menghubungkan Hutan Simpan Piasau (PNR) di Pulau Melayu ke Marina dan ia akan menjadi ikonik bagi Miri,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) di sebuah hotel di sini, semalam.

Majlis itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan isteri Premier Sarawak Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang. 

Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur di bandar raya ini adalah sebahagian daripada gambaran pembangunan yang lebih besar di utara Sarawak yang akan dihubungkan dengan lebih baik pada masa akan datang.

Beliau merujuk kepada rancangan pembinaan jalan dari Marudi ke Long Terawan untuk menghubungkannya ke jalan pembangunan utama yang menghubungkan Limbang dan Lawas, penjanaan kuasa oleh PETROS akan datang dan rancangan lain untuk meningkatkan pelancongan.

“Kita juga sudah memasuki fasa terakhir untuk menyenaraikan Gua Niah sebagai tapak warisan UNESCO dan ini diharapkan dapat menjadi kenyataan dan seterusnya kita boleh menghubungkannya dengan tapak warisan UNESCO Mulu,” katanya.

Dari segi pertumbuhan ekonomi, beliau mengharapkan momentum yang lebih besar dengan penjanaan kuasa 500MW oleh PETROS, pembangunan pelabuhan air dan sambungan udara (penerbangan) untuk menarik lebih banyak pelaburan ke utara Sarawak, terutama selepas Sarawak memiliki penerbangan sendiri kelak.

Beliau menjangkakan pengambilalihan MASwings oleh kerajaan negeri menjelang akhir tahun ini untuk menambah baik sambungan udara yang akan menjadi rangsangan kepada sektor pelancongan.

Terdahulu, beliau berterima kasih kepada pemimpin tertinggi negara kerana memainkan peranan penting dalam langkah mengubah permainan bagi membolehkan Perjanjian Malaysia 1963, Suruhanjaya Cobbold dan laporan IGC diiktiraf perlembagaan dengan pindaan penting.

Abang Johari memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan tugas untuk mendapatkan semula hak yang terhakis sambil bergerak ke hadapan untuk mengembangkan ekonomi digital dan hijaunya yang sudah mendapat perhatian antarabangsa.

Premier Sarawak itu berkata, dalam usaha mendorong kumpulan tenaga mahir, maka penyediaan pendidikan tinggi percuma untuk rakyat Sarawak sudah dalam perancangan bagi mereka yang berkelayakan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri Dato Dayang Morliah Awang Daud, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin serta menteri kabinet negeri yang lain dan Pengerusi LAKMM Datuk Abdullah Abdul Rahim.

  • oleh
  • Advertisement