Anda di sini

Utamakan keselamatan awam, polis tidak 'engage' suspek tembak di KLIA

Advertisement
Polis mengetatkan kawalan di KLIA susulan insiden tembak semalam. -Gambar BERNAMA
Polis mengetatkan kawalan di KLIA susulan insiden tembak semalam. -Gambar BERNAMA

SEPANG: Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan menjelaskan polis tidak mengambil tindakan drastik untuk menangkap suspek tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ketika kejadian awal pagi semalam, kerana keutamaan ketika itu ialah keselamatan orang awam.

Beliau berkata kaedah 'engage' atau mendekati suspek tidak digunakan ketika kejadian memandangkan kawasan lapangan terbang ialah tumpuan awam.

"Lebih baik kita keluarkan dia (suspek) dari kawasan itu dan selamatkan orang awam. Itu kaedah terbaik dari 'engage' dengan suspek yang bersenjata api," katanya kepada media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah KLIA, di sini hari.

Beliau berkata pihaknya percaya tindakan dan respons polis serta pihak keselamatan lapangan terbang adalah cepat dan terbaik.

"Kalau kita 'engage' dengan dia (suspek) keadaan akan lebih buruk. Dia akan lepas tembakan dan di situ adalah kawasan awam yang ramai orang, kanak-kanak pun ada," katanya.

Ditanya keadaan terkini mangsa tembak, Hussein berkata mangsa kini stabil dan masih menerima beberapa siri rawatan.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi semalam, seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek cedera akibat terkena tembakan dan kini dirawat di sebuah hospital.

Terdahulu Hussein menyaksikan acara serah terima tugas antara bekas Ketua Polis Daerah KLIA SAC Imran Abd Rahman dan ACP Azman Shari'at.

Azman, yang sebelum ini merupakan Ketua Urusetia Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah KLIA.

Imran pula menjalankan tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP) (Operasi Darat) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata pihaknya menggerakkan pasukan dan mengadakan sekatan jalan raya bagi memantau kehadiran suspek kes tembak berkenaan.

"Kami akan tingkatkan kawalan dan pemeriksaan terutama di sekatan jalan raya serta risikan bagi mengesan suspek (jika berada di negeri ini).

“Pada masa sama kita juga akan edarkan gambar lelaki itu Unit Kereta Peronda (MPV) dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang antara beliau dan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Mohd Alwi, 56, merupakan bekas Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/ Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.- BERNAMA
 

Advertisement