Anda di sini

Syarikat penerbangan sendiri pasti legakan anak Sarawak 

Advertisement

Pelajar Sarawak di Semenanjung pasti lega dengan pengumuman syarikat penerbangan itu dijangka beroperasi pada 2025

Fazzrudin ketika ditemui para pemberita di Majlis Rumah Terbuka Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong di Hikmah Exchange Event Centre, semalam.
Fazzrudin ketika ditemui para pemberita di Majlis Rumah Terbuka Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong di Hikmah Exchange Event Centre, semalam.

"Kita mengharapkan dengan adanya syarikat penerbangan ini mungkin dapat memberi sedikit saingan atau mungkin boleh menurunkan lagi harga tiket bagi anak-anak Sarawak kalau hendak ke Semenanjung atau dari Semenanjung ke Sarawak."

Fazzrudin Abdul Rahman
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak 

Oleh Henrietta Liza

KUCHING: Anak watan Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia kini boleh menarik nafas lega selepas pengumuman bahawa syarikat penerbangan milik Sarawak dijangka memulakan operasi pada 2025, baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman ketika ditemui pemberita berkata beliau amat gembira dengan pengumuman tersebut.

"Kalau kita cari tiket sekarang untuk balik ke Kuala Lumpur dianggarkan berharga RM800-RM1,000. Itu kos yang agak tinggi.

"Kita mengharapkan dengan adanya syarikat penerbangan ini mungkin dapat memberi sedikit saingan atau mungkin boleh menurunkan lagi harga tiket bagi anak-anak Sarawak kalau hendak ke Semenanjung atau dari Semenanjung ke Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meraikan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Rumah Terbuka Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong di Hikmah Exchange Event Centre, semalam.

Fazzrudin yang juga penasihat Sarawak Volunteers memberitahu, Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (IGPS)  telah dijalankan oleh Sarawak Volunteers dengan kerjasama Yayasan Sarawak.

Pelajar katanya, boleh memohon dua kali yang mana permohonan pertama akan diberikan RM300 dan kali kedua permohonan akan diberikan RM600.

"Jadi terpulang kepada mereka hendak menggunakan pada musim perayaan atau musim cuti bagi mengurangkan beban pelajar kita, itu masih lagi berjalan setiap tahun," tambahnya.

Dianggarkan juga seramai 10,000 hingga 12,000 orang pelajar Sarawak telah mendapat manfaat daripada IGPS saban tahun sejak ia diperkenalkan.

Ditanya sekiranya pada musim perayaan Gawai akan diberikan subsidi untuk pelajar yang mahu pulang ke Sarawak, beliau menjawab perlu menunggu keputusan daripada syarikat penerbangan atau Kementerian Pengangkutan terlebih dahulu.

Sebelum ini, Abang Johari telah mengumumkan syarikat penerbangan milik Sarawak dijangka mula beroperasi pada 2025.

Bagaimanapun, proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan negeri itu sedang berlangsung selepas dipersetujui secara prinsip oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Aviation Group.

"Apa yang berlaku kini ialah perbincangan mengenai aspek teknikal pengambilalihan tersebut. Saya jangka mungkin pada bulan Ogos atau selewat-lewatnya hujung tahun ini boleh selesai. Kita akan ada syarikat penerbangan kita sendiri pada 2025.

"Nama syarikat penerbangan juga sudah ada tapi kita tidak boleh umum dulu," kata kenyataannya baru-baru ini.
 

Advertisement