Anda di sini

Man City kembali ke tangga teratas

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Man City dan Luton Town di Stadium Etihad. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Man City dan Luton Town di Stadium Etihad. — Gambar AFP

MANCHESTER: Manchester City melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Luton Town 5-1 di Stadium Etihad sementara Newcastle United juga menang besar 4-0 ke atas Tottenham Hotspur pada Sabtu.

Ketika jadual yang padat, pengurus City, Pep Guardiola sememangnya mengharapkan perlawanan yang lebih mudah di antara dua perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara  menentang Real Madrid.

Guardiola melakukan enam pertukaran dari skuad yang seri 3-3 dengan Real Madrid pada perlawanan suku akhir pertama Selasa lepas dan City kelihatan mengharungi petang yang selesa dari saat mereka membuka jaringan seawal minit kedua permainan pada Sabtu.

Rembatan Erling Haaland terkena Daiki Hashioka dan masuk ke pintu golnya sendiri.

Namun pesta gol hanya bermula sehingga selepas satu jam permainan sebelum City benar-benar selesa apabila Mateo Kovacic menambah jaringan dari satu hantaran Julian Alvarez.

Haaland menjaringkan lima gol apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Piala FA Inggeris pada bulan Februari.

Penyerang antarabangsa Norway itu hanya menjaringkan satu gol kali ini apabila menyempurnakan penalti untuk koleksi gol liga yang ke-20 dalam Liga Perdana musim ini.

Ross Barkley menjaringkan gol sagu hati Luton tetapi mereka hanya mempunyai baki lima perlawanan untuk mengelak penyingkiran.

Jeremy Doku menjaringkan gol ketiga selepas melepasi pertahanan Luton sebelum Josko Gvardiol menjaringkan gol kedua peribadi dalam tempoh seminggu selepas membuka jaringan ketika menentang Real Madrid.

Kemenangan itu membolehkan City berada dua mata di hadapan Arsenal dan Liverpool, yang kurang satu perlawanan dan bermain lewat.

Liverpool menanti kunjungan Crystal Palace di Anfield dengan harapan untuk bangkit dari kekalahan mengejut kepada Atalanta dalam aksi Liga Europa.

Arsenal melayani Aston Villa, yang kembali ke empat tangga teratas liga selepas Tottenham dimalukan di St. James’ Park.

“Satu-satu cara ialah memenangi perlawanan kami dan memberikan tekanan ke atas lawan,” kata Guardiola. “Kami sudah melakukan tugas kami dan ia adalah apa yang harus kami lakukan.”

Alexander Isak menjaringkan dua gol sementara dua lagi gol dijaringkan oleh Anthony Gordon dan Fabian Schar ketika Newcastle naik ke tangga keenam liga dan mengekalkan peluang tipis untuk memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Newcastle kurang 10 mata di belakang Tottenham Hotspur dan Villa dengan baki enam perlawanan tetapi mempunyai jadual perlawanan yang lebih mudah.

“Kami harus terus melakukan tugas kami iaitu dengan memenangi setiap perlawanan,” kata pengurus Newcastle, Eddie Howe.

“kami berharap untuk kembali ke kedudukan menghampiri pencapaian terbaik kami dan harus terus berusaha menuju ke arah itu.”

Manchester United terlepas peluang untuk memintas Newcastle selepas seri 2-2 di Bournemouth.

Bournemouth mendahului kedudukan sebanyak dua kali menerusi gol Dominic Solanke dan Justin Kluivert tetapi Bruno Fernandes menjaringkan dua gol untuk memastikan satu mata berharga buat United.

Bournemouth memikirkan mereka mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan pada minit kecederaan apabila pengadil memberikan satu tendangan penalti.

Namun panel video bantuan pengadil (VAR) membuat semakan menentukan kekasaran Wily Kambwala ke atas Ryan Christie berlaku di luar kotak penalti.

Pada perlawanan lain, Nottingham Forest berkelebihan hanya satu mata di atas zon penyingkiran selepas seri 2-2 dengan Wolves sementara Brentford meraih kemenangan pertama dalam 10 perlawanan untuk berada tujuh mata di atas zon penyingkiran selepas menewaskan Sheffield United 2-0.

Peluang Burnley mengelak penyingkiran semakin sukar apabila seri 1-1 dengan Brighton, menyebabkan mereka masih kekal di tangga kedua dari bawah liga, enam mata dari zon selamat. — AFP
 

Advertisement