Anda di sini

Lelaki mengaku salah guna dadah dipenjara enam bulan 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintahkan Mahmud Maliki, 37, supaya menjalani pengawasan oleh pihak polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama tempoh dua tahun.

Mahmud dari Kampung Tabuan Lot di sini didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Fakta kes mendedahkan tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5 petang, 28 Februari 2024 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala Mahmud tidak diwakili peguam bela.
 

  • oleh
  • Advertisement