Anda di sini

Konflik Timur Tengah: Kerajaan pantau kedudukan pasaran kewangan termasuk dampak ke atas Malaysia 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan kini sedang memantau rapat perkembangan konflik  di Timur Tengah dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia.

“Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia,” kata beliau, yang juga Menteri Kewangan, dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam.

Serangan yang dilancarkan oleh Republik Islam Iran adalah tindak balas yang berpunca dari serangan Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini, dan ini tentunya adalah pelanggaran yang nyata terhadap hukum serta undang-undang antarabangsa, katanya lagi.

“Malaysia berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan serta keamanan sejagat, dan semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut.

“Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera,” tambah beliau. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri dengan tegasnya berkata Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini selain menambah, sekarang adalah ketikanya bagi semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu termasuk  pegawai tertinggi kerajaan untuk membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah. 

Media antarabangsa hari ini dipetik melaporkan Kor Pengawal Revolusi Iran telah memulakan operasi serangan dron, menyasarkan lokasi di dalam wilayah yang diduduki Israel.- BERNAMA

Advertisement