Anda di sini

Terbuka Jerman: Eain Yow raih gelaran sulung Jelajah Dunia di Hamburg

Advertisement
Gambar Facebook Squash - PSA World Tour
Gambar Facebook Squash - PSA World Tour

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki negara Ng Eain Yow merangkul gelaran Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) pertama selepas muncul juara dalam Terbuka Jerman 2024 pada Ahad.

Pemain pilihan keempat itu menewaskan pemain pilihan keenam iaitu Dimitri Steinmann, 12-10, 11-8, 10-12, 11-3 dalam aksi mendebarkan yang berlangsung selama 66 minit pada kejohanan Jelajah Dunia PSA peringkat Gangsa di Hamburg.

Pada temu bual selepas perlawanan dengan PSA, pemain yang menduduki ranking ke-22 dunia itu menarik nafas lega dapat mengatasi lawannya dari Switzerland dan meraih kejuaraan.

"Beliau (Steinmann) mengasak di setiap sudut dan tidak banyak ketinggalan, jadi saya perlu berusaha lebih lagi, kekal berlari, dapatkan semua bola semula dan berpegang kepada pelan permainan … saya rasa sudah melakukannya," katanya.

Semalam, pemain berusia 26 tahun itu melakukan kejutan apabila menumbangkan pilihan utama dari Wales, Joel Makin 13-11, 11-8, 6-11, 11-8, untuk mara ke final.  

Steinmann pula mengalahkan Mohamed ElSherbini, 11-8, 11-4, 11-1, untuk ke pusingan akhir dalam empat lagi pertemuan terakhir.

Bagi kategori wanita, pilihan utama dari Belgium, Nele Gilis terlepas peluang untuk menjuarai gelaran selepas tersingkir menentang pemain pilihan ketiga Georgina Kennedy dari England, 11-9, 11-6, 7-11, 14-12.

Pencapaian Eain Yow di Hamburg ternyata menambah kemeriahan dalam skuad skuasy Malaysia, susulan kemenangan pemain wanita negara S. Sivasangari pada kejohanan Skuasy Klasik London 2024 minggu lepas.

Pemain nombor 13 dunia, Sivasangari mempamerkan aksi cemerlang dengan mengetepikan pemain nombor dua dunia dari Mesir, Hania El Hammamy, 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 pada final di Istana Alexandra, London.

Pencapaian luar biasa beliau itu menandakan Sivasangari sebagai pemain Malaysia pertama merangkul gelaran juara Jelajah Dunia PSA peringkat Emas sejak kemenangan legenda skuasy negara Datuk Nicol David di Terbuka Hong Kong pada 2015. - BERNAMA

Advertisement