Anda di sini

Bilbao julang trofi Copa del Rey

Advertisement
Pasukan Atheltic Bilbao meraikan kejayaan memenangi kejohanan Copa del Rey selepas menumpaskan Real Mallorca pada perlawanan final di Stadium La Cartuja di Sevilla. — Gambar AFP
Pasukan Atheltic Bilbao meraikan kejayaan memenangi kejohanan Copa del Rey selepas menumpaskan Real Mallorca pada perlawanan final di Stadium La Cartuja di Sevilla. — Gambar AFP

SEVILLE: Athletic Bilbao mengakhiri penantian 40 tahun untuk memenangi Copa del Rey apabila menewaskan Real Mallorca 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga masa tambahan pada Sabtu.

Kelab dari wilayah Basque itu menjulang kejuaraan buat kali ke-24 dalam sejarah mereka, di belakang pemegang rekod 31 kejuaraan, Barcelona, ketika menewaskan Mallorca di Stadium La Cartuja di Seville.

Dani Rodriguez meletakkan Mallorca di hadapan dalam separuh masa pertama tetapi Oihan Sancet mengikat kedudukan tidak lama selepas rehat. Kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal menjaringkan gol kemenangan, menyebabkan pemenang harus ditentukan menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol Athletic, Julen Agirrezabala menyelamat penalti Manu Morlanes dan pemain Mallorca, Nemanja Radonjic melihat rembatannya menggegar palang, dengan Athletic menyempurnakan kesemua tendangan penalti mereka.

Alex Berenguer menjadi penjaring penalti kemenangan pasukannya.

Athletic, yang dibimbing Ernesto Valverde, tewas dalam enam penampilan di final sebelum ini, menamatkan satu era seri gagal di final.

Selepas menewaskan Barcelona dan Atletico Madrid untuk ke final, pasukan yang mendapat jolokan Los Leones itu akhirnya memenangi kejuaraan pertama kelab sejak memenangi dua kejuaraan liga dan piala domestik pada 1984.

Mallorca, juara pada 2003, bermula dengan meyakinkan dan rembatan jarak jauh Vedat Muriqi ditepis keluar oleh Agirrezabala.

Melangkah ke final buat kali keempat, Mallorca membuka jaringan pada minit ke-21 menerusi penyudah tepat Rodriguez.

Athletic memikirkan mereka mengikat kedudukan menerusi rembatan Nico Williams pada minit ke-39 tetapi gol itu tidak dibenarkan kerana ofsaid.

Agirrezabala menepis cubaan Cyle Larin pada awal separuh masa kedua sebelum Athletic akhirnya menjaringkan gol penyamaan.

Nico Willians sekali lagi terlibat apabila mengumpan bola kepada Sancet untuk menewaskan penjaga gol Mallorca, Dominik Greif.

Kedua-dua pasukan cuba mencari gol penyamaan namun gagal melakukannya sehingga tamat masa tambahan dan tuah lebih memihak kepda Athletic. — AFP

Advertisement