Anda di sini

Bekas banduan mengaku bersalah terlibat penyalahgunaan dadah

Advertisement
 

MIRI: Seorang bekas banduan didenda RM2,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.
    
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh supaya menjalani pengawasan oleh polis selama tempoh dua tahun.
    
Randy Jenang Satapa, 29, dari Jalan Permyjaya, Tudan di sini didakwa mengikut  Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama.
    
Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan pegawai seperti ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 1.50 petang, pada 26 April 2023 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh bekerja sebagai 'bar tender' merayu hukuman ringan memandangkan dia berkahwin serta mempunyai tiga orang anak.
    
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Chrissie Ngiron Mijun di hadapan Majistret Randu Rangen.
 

  • oleh
  • Advertisement