Anda di sini

LDP sokong penahanan Dr Akmal berdasarkan Akta Hasutan Komunikasi

Advertisement
CHIN
CHIN

KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin menyokong tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang menahan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh untuk membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998. 

Pada masa sama, beliau juga menggesa agar kerajaan negeri melarang Akmal daripada memasuki Sabah, berikutan tindakannya yang mencetuskan sentimen hasutan terhadap kaum dan agama boleh mengganggu keharmonian negara.

“Penahanan ini menunjukkan polis komited dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan negara, dan LDP tegas menentang sebarang bentuk pelampau dan ekstremis daripada memasuki Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Chin juga kesal dengan gesaan berterusan untuk memboikot KK Super Mart walaupun pengasasnya Datuk Seri KK Chai telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Beliau berkata, tindakan memboikot itu juga menjejaskan perniagaan KK Mart dan keselamatan pekerjanya.

Katanya, beberapa kedai serbaneka KK Mart juga diserang menggunakan Molotov koktel, menyebabkan beberapa barangan rosak, mujurlah tiada kecederaan akibat kejadian itu.

“Semasa kepimpinan UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak, Chin menegaskan bahawa pergerakan Baju Merah yang diketuai oleh Datuk Seri Jamal Md Yunos berulang kali membangkitkan sentimen sensitif yang akhirnya mengakibatkan penolakan parti.

“Sebagai kuasa politik yang penting di Malaysia, tindakan UMNO mempunyai kesan yang meluas, bagaimanapun, sesetengah pemimpin partinya lebih cenderung untuk mencetuskan ketegangan kaum, dan bukannya menyatukan rakyat di negara ini.

“Teguran atau corak politik sedemikian akhirnya akan menjerumuskan negara kita ke dalam huru-hara dan kegawatan, sebelum akhirnya menghalang kemajuan ekonomi dan mencemarkan reputasi antarabangsa negara,” katanya.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak adalah penting kepada politik Malaysia kerana pendirian politik dan kecenderungan pilihan raya menentukan landskap politik negara.

“Pada masa ini, terdapat sentimen yang semakin meningkat menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kerana negara memerlukan kestabilan dan pembangunan.

"Kita tidak boleh terganggu dengan kenyataan kontroversi, budaya dan tradisi Malaysia menekankan toleransi dan keharmonian serta saling menghormati kepelbagaian kaum.

“Nilai-nilai ini menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang budaya di mana pelbagai agama, bahasa dan adat wujud bersama dengan aman, kita sebagai rakyat Malaysia harus bekerjasama dalam memelihara keharmonian di tanah air,” katanya.

Advertisement