Anda di sini

Kerajaan negeri senada dengan ESSCOM perkukuh tahap kesejahteraan di Lahad Datu

Advertisement
 Firuz Idzualdeen merakamkan gambar kenangan bersama ketika Sesi Libat Urus terbabit.
KENANGAN: Firuz Idzualdeen merakamkan gambar kenangan bersama ketika Sesi Libat Urus terbabit.

LAHAD DATU: Kerajaan negeri senada dengan hasrat dan komitmen Kerajaan Persekutuan melalui Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk mengukuhkan kesejahteraan di Lahad Datu.

Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd. Dzul berkata, usaha itu termasuklah memastikan tahap keselamatan di daerah ini sentiasa berada pada tahap yang optimum bagi menjamin kemasukan pelabur asing dan pelancong ke sini.

"Perkara ini sangat dititikberatkan oleh kerajaan negeri dan menjadi antara agenda utama dibincangkan dalam draf Pelan Tempatan Lahad Datu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Libat Urus ESSCOM Bersama Komuniti Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) Daerah Lahad Datu di Dewan Tun Mustapha, di sini.

Katanya, Sesi Libat Urus ini diadakan bagi melaksanakan kajian berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ESS Zone Sabah dan melibatkan kumpulan sasar terdiri daripada pemimpin tempatan, komuniti setempat, komuniti perniagaan dan maritim, Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik, penyelidik dan pasukan keselamatan di enam daerah terlibat PKP ESS Zone Sabah dan daerah Lahad Datu adalah yang terakhir selepas diadakan di lima daerah iaitu Semporna, Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Kunak.

Katanya, melalui kajian ini, penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada PKP ESS Zone Sabah dapat diteliti.

“Selain itu kita juga dapat menganalisis keberkesanan pelaksanaan arahan selain mengenal pasti ancaman sedia ada dan mengkaji hala tuju dari segi pengecilan kawasan PKP ESS Zone Sabah atau memansuhkan perintah itu secara menyeluruh atau hybrid. 

“Kajian ini turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan berkenaan sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya,” katanya.

Terdahulu, semasa menyampaikan ucapan aluan, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali mahu agar taklimat tentang PKP ESS Zone Sabah ini diberikan kepada semua pemimpin politik khususnya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana kajian ini perlu merentasi fahaman politik dan Kerajaan agar data kajian ini berintegriti.

Tambahnya, ini juga perlu supaya keputusan daripada kajian ini benar-benar memberi impak.

Pada majlis sama, turut diadakan Sesi Dialog Bersama Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos yang menekankan aspek pengangkatan semula imej ESS Zone sebagai Zon Sejahtera antaranya melalui cadangan penukaran peta ESS Zone dari warna merah kepada putih bagi melambangkan kawasan tersebut selamat dan sejahtera.

Selain itu, turut diadakan penyampaian sumbangan berupa bakul makanan kepada golongan asnaf sekitar daerah Lahad Datu disusuli majlis berbuka puasa bersama-sama warga Daerah Lahad Datu.

Hadir sama Timbalan Komander ESSCOM mewakili Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Technologist (Ts.) Roslan Mat Saad dan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail.

  • oleh
  • Advertisement