Anda di sini

Jaminan keselamatan ESSCOM tingkat keyakinan pelancong luar

Advertisement
 Christina merakamkan gambar kenangan bersama selepas program sesi libat urus terbabit.
KENANGAN: Christina merakamkan gambar kenangan bersama selepas program sesi libat urus terbabit.

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew menyambut baik jaminan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang menyatakan tahap keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) berada pada tahap terbaik.

Christina berkata, kenyataan terbabit disokong dengan kawalan daripada pasukan keselamatan negara meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai Sabah dari Kudat ke Tawau.

“Jaminan ini akan meningkatkan lagi keyakinan pelancong luar terhadap Sabah serta mengukuhkan keyakinan pelabur sedia ada dan pelabur baharu untuk datang ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos menyatakan jaminan itu kepada Christina senasa Sesi Penglibatan Pemain Industri Pelancongan 2024 di sini, Khamis lalu.

"ESSCOM ditubuhkan selepas Peristiwa Lahad Datu Tanduo pada 2013, saya boleh memberi jaminan bahawa ESSZONE adalah tempat yang selamat untuk dikunjungi oleh semua pelawat dan pelancong serta untuk penduduk setempat melakukan aktiviti harian," katanya semasa membentangkan tentang isu keselamatan dan rondaan keselamatan di Sabah.

Turut hadir Ketua Turus Operasi ESSCOM, Datuk Chandrasehkaran Muthu dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Asisten Komisioner Ang Seow Aun.

Dalam pada itu, Christina bersetuju dengan cadangan Victor agar pemain industri memainkan peranan dalam menyampaikan tahap keselamatan ESSZONE kepada pelanggan atau pelancong luar negara yang mahu datang ke negeri ini.

“Sebagai barisan hadapan, semua pihak berkepentingan pelancongan perlu meningkatkan taraf operasi masing-masing dan memperluaskan kerjasama terhadap agensi penguatkuasa dalam usaha mengelak insiden di laut yang melibatkan pelancong, seperti insiden Mataking pada 2023.

“Usaha memastikan keselamatan dan keselamatan pengunjung dan pelancong adalah tanggungjawab bersama sepertimana yang dinayatakan oleh Victor,” katanya.

Sementara itu, bercakap berkenaan permintaan pihak pemain pelancongan untuk mengubah perkataan perintah berkurung di ESSZONE, Victor berkata, perintah berkurung dinamakan semula sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ESSZONE berkuat kuasa 17 Oktober tahun lepas.

“ESSCOM juga mencadangkan kepada kerajaan untuk menukar peta ESSZONE kepada warna putih berbanding merah ketika ini dan menamakannya kawasan kesejahteraan.

“Kita juga merancang menggunakan aplikasi 'Friends of Sabah' bagi memastikan keselamatan pelancong di kawasan ESSZONE selain memudahkan pasukan keselamatan memberikan bantuan kepada pelancong semasa berlakunya kecemasan.

"Ketika memerlukan bantuan, pelancong boleh memulakan panggilan kecemasan daripada aplikasi ini yang disambung secara langsung kepada pusat operasi ESSCOM serta pasukan tindak balas kecemasan lain termasuk Bomba, Hospital dan pihak Polis,” katanya.

Sebelum ini, Christina dalam ucapan perasmiannya berkata, dalam usaha meningkatkan industri pelancongan, semua pihak perlu mengekalkan keseimbangan dalam pengoperasian, penjagaan alam sekitar dan yang memastikan kita mengamalkan piawaian terbaik untuk kebaikan bersama.

“Saya mahu semua pemegang taruh bergerak ke hadapan bersama-sama ke arah merealisasikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY26),” katanya.

Program sesi libat urus yang dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menjadi platform kepada semua pemain pelancongan dan pihak berkepentingan daripada sektor swasta serta badan kerajaan bertukar idea, pengetahuan dan maklumat untuk kepentingan industri pelancongan negara.

Advertisement