Anda di sini

Projek Ehsan@KUSKOP salah satu usaha tangani kemiskinan di Sabah: Ewon

Advertisement
 Ewon merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan dan agensi media selepas majlis berbuka puasa.
KENANGAN: Ewon merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan dan agensi media selepas majlis berbuka puasa.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaksanakan Projek Ehsan@KUSKOP dalam usaha menangani isu kemiskinan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program khas ini akan menggunakan pendekatan “whole of ministry” iaitu menyatupadukan peranan semua agensi, yayasan dan universiti dalam kementeriannya melalui gerakan keusahawanan, koperasi dan pendidikan.

“Cadangan Projek Ehsan@KUSKOP ini sudah dibentangkan di dalam mesyuarat pasca-kabinet kementeriannya Rabu lalu dengan menjadikan gerakan keusahawanan, koperasi dan pendidikan sebagai sebahagian daripada usaha menoktahkan kemiskinan atau menangani isu kemiskinan di Sabah.

“Sebagai anggota kabinet yang berasal dari Sabah, saya terpanggil untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah ini. 

“Daripada kita mahu menuding jari mencari silapnya, saya berpandangan lebih baik saya melaksanakan kekuatan kementerian ini untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian isu berkenaan,” katanya selepas Majlis Iftar Agensi-Agensi KUSKOP di Sabah bersama Pengamal Media Sabah di sini.

Ewon berkata, semua agensi, yayasan dan universiti yang diletakkan dalam kementeriannya akan membentuk sinergi bagi menjayakan Projek Ehsan@KUSKOP.

“Projek rintis akan dimulakan di tiga daerah di utara Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi.

“Antara sasaran program khas ini adalah melahirkan sekurang-kurangnya seorang anggota keluarga yang tersenarai dalam e-Kasih atau yang tergolong dalam kategori B40 menjadi usahawan atau peniaga kecil.

“Kita mempunyai agensi bimbingan seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) yang akan membimbing aspek keusahawanan, kita juga mempunyai agensi pembiayaan seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp dan Bank Rakyat yang boleh menyalurkan pembiayaan mikro kepada mereka,” katanya.

Tambahnya, Yayasan Bank Rakyat dan Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia akan melaksanakan peranan membantu pendidikan anak-anak keluarga ini dan koperasi dan Suruhanjaya Koperasi juga mempunyai kawalan dalam pelaksanaan projek ini.

Ewon berkata, perbincangan lanjut dengan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah berkaitan dengan projek ini juga akan dilaksana dalam masa terdekat.

“Ini adalah tanggungjawab saya dan kementerian untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah kemiskinan di Sabah. 

“Pada dasarnya saya tidak mahu bercakap kenapa insiden kemiskinan di Sabah terlalu tinggi sedangkan tidak mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah terbabit.

“Saya ingin menjemput rakan-rakan pimpinan di Sabah sekiranya ingin bercakap tentang insiden kemiskinan di Sabah, marilah sama-sama jadikan diri kita sebahagian daripada penyelesaian masalah ini dan kita berganding bahu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau berharap program rintis di tiga daerah itu dapat dilaksanakan dalam separuh penggal kedua tahun ini.

  • oleh
  • Advertisement