Anda di sini

Syarikat atau klinik swasta digalak menjadi rakan strategik KGC: Fatimah

Advertisement
(Dari kanan) Vivian, Rosey dan Fatimah bergambar bersama pemenerima kad KGC yang akan menikmati kemudahan kesihatan di Klinik Jaya Medik Miri, hari ini.
(Dari kanan) Vivian, Rosey dan Fatimah bergambar bersama pemenerima kad KGC yang akan menikmati kemudahan kesihatan di Klinik Jaya Medik Miri, hari ini.

MIRI: Lebih banyak syarikat atau klinik swasta digalakkan agar tampil bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sebagai rakan strategik Kenyalang Gold Card (KGC) bagi kesejahteraan bersama. 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, semakin banyak penyertaan sebagai rakan strategik, semakin banyak manfaat kepada warga emas di Sarawak.

"Lebih banyak rebat atau diskaun akan diberikan syarikat swasta atau badan korporat melalui KGC, jumlah rebat ini berbeza-beza bermula daripada tiga hingga 40 peratus.

"Bagi kita di kementerian, kita menerima jumlah rebat akan diberikan sebagai contoh terdapat kedai runcit di Sarikei yang kecil juga memberikan rebat tiga peratus," jelasnya.

Fatimah berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Plak KGC kepada Rakan Strategik iaitu Klinik Jaya Medik di sini, hari ini.

Menurut Fatimah, bagi tahun 2020 sehingga 29 Februari 2024, sebanyak 275,130 KGC telah diagihkan di seluruh Sarawak.

"Daripada jumlah tersebut 38,365 KGC telah diagihkan di Bahagian Miri dan pemegang KGC di Miri boleh mendapatkan pelbagai keistimewaan yang ditawarkan 68 rakan strategik di seluruh Bahagian Miri dan 578 rakan strategik di seluruh Sarawak," ujarnya.

Pihaknya tambahnya, akan meneruskan usaha menambah rakan strategik selaras dengan perancangan kerajaan negeri untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik swasta di bawah inisiatif baharu KGC Plus. 

"Ia sangat baik bagi Klinik Jaya Medik ini bekerjasama sebagai rakan strategik dan kita akan memastikan mereka juga akan menjadi salah satu rakan strategik KGC Plus nanti," jelasnya.

Bagi golongan warga emas di Sarawak, mereka disediakan dengan potongan harga dan perkhidmatan melalui penggunaan KGC dengan kerjasama rakan strategik KGC yang terdiri daripada syarikat swasta dan pusat komersial berdaftar di serata Sarawak. 

Sebagai rakan strategik baharu, Klinik Jaya Medik menawarkan diskaun lima hingga 10 peratus ke atas pelbagai produk dan perkhidmatan. 

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah perundingan dan rawatan kesihatan (diabetes, hipertensi dan hiperkolestrol), penjagaan dan rawatan luka, jahitan luka, ujian gula dalam darah, pakej ujian darah dan air kencing, pemeriksaan perubatan, pengurusan kateter urinari, menukar tiub NG dan prosedur kesihatan bagi pesakit luar.

Selain Klinik Jaya Medik, antara rakan strategik di Miri ialah Hospital Columbia Asia, Hospital Pakar KPJ Miri dan farmasi perubatan serta kedai cermin mata. 

KGC juga dilengkapi dengan Bantuan Ihsan Kematian (BIK) yang merupakan pemberian kepada waris pemegang KGC yang meninggal dunia bagi menanggung kos pengebumian sejumlah RM3,000.

Sejak 2020 sehingga 29 Februari 2024, sejumlah 16,690 permohonan BIK telah diluluskan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM50.07 juta bagi seluruh Sarawak. 

Manakala bagi Bahagian Miri, 1,297 permohonan BIK telah diluluskan dengan perbelanjaan sebanyak RM3.891 juta.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus, Pengarah Klinik Jaya Medik Dr Haizul Amri Mohd Dzulkafli dan Pegawai JKM Miri Vivian Engkiong.
 

  • oleh
  • Advertisement