Anda di sini

Jamaludin seru isterinya Siti Nur Aisyah pulang ke rumah

Advertisement
Jamaludin menunjukan gambar isterinya, Siti Nur Aisyah.
Jamaludin menunjukan gambar isterinya, Siti Nur Aisyah.

LIMBANG: “Pulanglah, tak lama lagi Hari Raya, kita nak sambut bersama,” rayu seorang suami kepada isterinya Siti Nur Aisyah Dato, 42, yang tidak pulang ke rumah sejak lapan hari lalu.

Jamaludin Abdullah, 67, bapa kepada tujuh anak itu berkata, isterinya gagal menjawab telefon ketika dihubungi.

Kata Jamaludin, kali terakhir dia berjumpa isterinya pada 28 Mac lalu sebelum dia keluar bekerja pada jam 7 pagi.

“Sebelum keluar kerja, isteri saya masih ada di rumah dan menyedari dia telah keluar rumah tanpa membawa pakaian ketika saya pulang dari kerja kira-kira jam 5 petang, 28 Mac lepas.”katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini, pada Khamis.

Jelasnya lagi, satu laporan polis sudah dibuat berhubung kehilangan isterinya itu pada 29 Mac lalu jam 8 pagi.

Kata Jamaludin, laporan polis itu dibuat kerana bimbang dengan keselamatan isterinya, selain berharap isterinya dapat pulang untuk bersama meraikan Hari Raya tidak lama lagi.

“Siapa yang tak sayang isteri, saya amat berharap beliau pulang ke rumah kerana Syawal tidak lama lagi,” katanya.

Beliau menjelaskan lagi, sebelum keluar rumah isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Ditanya sekiranya berlaku pertengkaran sebelum insiden itu, katanya sebagai suami isteri mereka hanya bertengkar kecil.

Beliau juga yakin isterinya masih berada di bandar ini.

Kata Jamaludin lagi, mereka baru pulang ke Limbang seminggu lalu selepas bekerja di Miri.

Isterinya yang berasal dari Kampung Pulau Brunei, Medamit yang juga merupakan mualaf, tidak pernah keluar rumah sebelum ini sejak berumah tangga pada 2022 selepas isteri pertamanya meninggal dunia.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai isterinya boleh menghubunginya di talian 013-3033357.
 

  • oleh
  • Advertisement