Anda di sini

Gerakan koperasi capai perolehan RM64 bilion: Ewon 

Advertisement
 Ewon menyampaikan sumbangan zakat wakalah SKM kepada pusat jagaan dan rumah anak yatim. Turut kelihatan Ramanan (dua dari kiri), Zamri (kiri) dan Rusli (dua dari kanan).
ZAKAT: Ewon menyampaikan sumbangan zakat wakalah SKM kepada pusat jagaan dan rumah anak yatim. Turut kelihatan Ramanan (dua dari kiri), Zamri (kiri) dan Rusli (dua dari kanan).

KOTA KINABALU: Gerakan koperasi di negara ini berjaya mencapai perolehan sebanyak RM64.56 bilion pada 2023, sekali gus mencapai sasaran lebih awal Dasar Koperasi Malaysia (DaKom2030) yang ditetapkan pada 2025 sebanyak RM60 bilion.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, prestasi pencapaian amat membanggakan itu menunjukkan peningkatan perolehan secara keseluruhan sebanyak 42 peratus iaitu RM64.56 bilion pada 2023 berbanding RM45.5 bilion pada 2022. 

“Pada dasarnya DaKom2030 yang menyasarkan perolehan koperasi berjumlah RM60 bilion pada 2025 tercapai dua tahun lebih awal dan sasaran seterusnya pada 2030 ialah RM73 bilion.

“Saya percaya pencapaian ini adalah hasil usaha gigih serta kerja keras semua pihak pengurusan tertinggi dan warga Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam merencana pelbagai program pembangunan dan kawal selia koperasi di seluruh negara,” katanya pada Majlis Iftar SKM, di Ibu Pejabat SKM di Kuala Lumpur semalam.

Ewon berkata, selain kejayaan meningkatkan perolehan, SKM juga berjaya mendaftarkan 1,001 koperasi baharu sepanjang tahun lalu mengatasi purata pendaftaran tahun sebelumnya.

Menurutnya, bagi memastikan kapasiti sumber manusia dapat menyokong peranan dan fungsinya, SKM mendapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengisi 100 perjawatan bertaraf kontrak mengikut waran sedia ada di pelbagai peringkat perjawatan. 

"Sudah tentu dengan kelulusan perjawatan ini akan memantapkan lagi peranan SKM sebagai sebuah badan kawal selia dan pembangunan koperasi. 

"Saya berharap momentum dan prestasi SKM akan dapat dikekalkan dalam penganjuran program-program di peringkat nasional sehingga akar umbi,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan zakat wakalah SKM kepada lima pusat jagaan dan rumah anak yatim iaitu Pusat Jagaan Kasih Murni, Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi, Rumah Anak Yatim Shifa (Persatuan Kebajikan Teratak Shifa Kuala Lumpur dan Selangor) dan Rumah Raudhatul Alfaeez.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ramanan Ramakrishnan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Zamri Salleh; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak; dan Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar.
 

Advertisement