Anda di sini

Dua warga Myanmar bebas tuduhan bunuh

Advertisement
 

SEREMBAN: Dua lelaki warga Myanmar hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga India yang juga penyelia mereka, empat tahun lepas. 

Hakim Datuk Rohaini Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Maung Maung, 45, dan Mg Aung Aung, 33, setelah mendengar keterangan saksi dan membaca hujahan kedua-dua pihak. 

Maung Maung diwakili Peguam Datuk Hanif Hassan manakala Mg Aung Aung diwakili Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hadi Hakimi Harun. 

"Oleh demikian mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil  membela diri," katanya. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama telah membunuh Ajith Almaraj di stesen minyak Metro Park Sri Sendayan, kira-kira 2.30 pagi 1 Julai 2020. 

Mereka didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Seramai 10 saksi dipanggil bagi tempoh perbicaraan bermula Januari lepas.- BERNAMA
 

Advertisement