Anda di sini

Projek Tamu Desa akan dimulakan pada suku kedua April ini: Ramanan

Advertisement
Ramanan ketika menghadiri Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar BERNAMA
Ramanan ketika menghadiri Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Projek Tamu Desa di pedalaman Sabah dan Sarawak akan dimulakan pada suku kedua April ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Datuk Ramanan Ramakrishnan.

Beliau berkata projek Tamu Desa dengan UDA Holding sebagai agensi pelaksana, bertujuan membina dan menaik taraf kemudahan ruang niaga dan infrastruktur keusahawanan di luar bandar di kedua-dua negeri itu. 

“Kuskop sedang mengadakan perbincangan bersama kerajaan kedua-dua negeri itu khususnya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan cadangan skop dan lokasi tapak projek yang bersesuaian. 

“Program ini dijangka dimulakan suku kedua April ini selepas Hari Raya Aidilfitri," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan tambahan Senator Pele Peter Tinggom yang ingin tahu usaha kerajaan dalam memperkasakan usahawan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Ramanan berkata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick juga sedang memperkasakan dan merangka pelbagai program di luar bandar menerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK).

Projek Tamu Desa merupakan cetusan idea Ewon untuk menambah baik keperluan infrastruktur peniaga kecil dan penjaja di kawasan luar perkadaran agar mereka boleh menikmati kemudahan yang lebih baik. 

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju memperuntukkan RM20 juta dalam Belanjawan 2024 bagi projek berkenaan yang akan dilaksanakan oleh Kuskop. - BERNAMA

Advertisement