Anda di sini

Negara catat pelaburan asing RM188.4 bilion, pelaburan domestik RM141.1 bilion pada 2023

Advertisement
Liew ketika Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar BERNAMA
Liew ketika Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Negara mencatatkan pelaburan asing berjumlah RM188.4 bilion pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 15.3 peratus berbanding 2022, kata Timbalan Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata pelaburan domestik menyumbang sebanyak RM141.1 bilion yang menyaksikan peningkatan sebanyak 35.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya pelaburan asing menyumbang sebanyak 57.2 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan RM329.5 bilion yang diluluskan pada 2023 manakala pelaburan domestik mewakili 42.8 peratus.

“Kita ingin memastikan jumlah pelaburan yang telah diluluskan dapat direalisasikan secepat mungkin dan membawa limpahan yang tinggi kepada ekonomi negara.

“Dengan merealisasikan pelaburan yang diluluskan, ia dapat memberi peluang pekerjaan yang lebih baik dengan kadar gaji yang lebih tinggi kepada rakyat Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen yang ingin tahu mengenai jumlah pelaburan yang telah berjaya dimeterai oleh kerajaan sepanjang tahun 2023.

Menurut Liew, negara sebelum ini mencatatkan jumlah pelaburan yang tinggi tetapi tidak mempunyai pendekatan penyetempatan.

“Kali ini, kerajaan berhasrat untuk memastikan pelaburan yang masuk menjana pekerjaan yang baik dan gaji lebih tinggi serta penyetempatan diusahakan supaya pengusaha tempatan dapat manfaat daripada pelaburan asing,” katanya. - BERNAMA

Advertisement