Anda di sini

17.65 juta profil warganegara telah dikemas kini dalam sistem PADU: Rafizi

Advertisement
 
 

PUTRAJAYA: Seramai 17.65 juta atau 58.7 peratus keseluruhan profil rakyat, termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun, berjaya dikemas kini dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan pembangunan sistem PADU di Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Digital Negara, Kementerian Komunikasi dan juga agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan PADU.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bahagi telah ditunjukkan oleh pasukan PADU sejak hari pertama lagi, dan Kementerian Ekonomi seterusnya akan membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada Jemaah Menteri bulan ini.

“Sebarang pengumuman berkenaan hal ini akan diumumkan oleh kerajaan pada masa akan datang,” katanya.

Pendaftaran sistem PADU ditutup pada 11.59 malam 31 Mac 2024. 

Rafizi berkata bagi warganegara yang tidak berjaya mendaftar dan mengemas kini profil di PADU, data pentadbiran sedia ada adalah mencukupi, dan akan digunakan oleh kerajaan untuk menentukan kelayakan individu bagi tujuan penyasaran semula subsidi.

“Sekiranya ada keperluan, Kementerian Ekonomi akan umumkan pembukaan semula PADU untuk tempoh yang singkat bagi proses pendaftaran dan kemas kini setelah kerajaan membuat keputusan mengenai bentuk dan mekanisme subsidi bersasar,” katanya. - BERNAMA

Advertisement