Anda di sini

Pope Francis akan lawat Indonesia pada 3 September

Advertisement
POPE FRANCIS - Gambar fail AFP
Gambar fail AFP

JAKARTA: Pemimpin tertinggi Vatican, Pope Francis, akan melawat Indonesia pada 3 September, menurut Menteri Agama Yaqut Cholil Qoumas.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata kerajaan telah menerima surat pemberitahuan daripada pihak berkuasa Vatican berhubung perkara itu.

Menurut beliau, ini adalah satu penghormatan bagi rakyat Indonesia, dan Presiden Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, sudah menantikan kedatangan pemimpin tertinggi Katolik itu.

“Pada Jun 2022, saya telah menyampaikan surat jemputan daripada Presiden Jokowi kepada Pope Francis.

Selepas hampir dua tahun menunggu, Pope Francis akhirnya boleh datang ke Indonesia. Saya rasa ini adalah hadiah istimewa untuk masyarakat Katolik khususnya,” katanya.

Yaqut berharap Pope Francis akan dapat menyaksikan sendiri kepelbagaian dan persaudaraan dalam kalangan penganut agama dalam masyarakat Indonesia.

“Indonesia mampu mengekalkan toleransi dan keamanan dalam kalangan penganut-penganut agama termasuk ratusan penganut agama tempatan,” katanya. - BERNAMA

Advertisement