Anda di sini

Peruntukan bina Pusat Pentadbiran Bersepadu Dalat akan diguna untuk bina baharu masjid, surau usang

Advertisement
Fatimah (dua kiri) menyampaikan sumbangan Sejambak Kasih Hari Raya kepada salah seorang penerima di Dalat, hari ini.
Fatimah (dua kiri) menyampaikan sumbangan Sejambak Kasih Hari Raya kepada salah seorang penerima di Dalat, hari ini.

DALAT: Peruntukan untuk membina Pusat Pentadbiran Bersepadu Dalat akan digunakan untuk membina baharu masjid dan surau usang di kawasan Dalat, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu berkata, pada asalnya pembinaan pusat bersepadu berkenaan menggunakan peruntukan daripada Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

Bagaimanapun katanya, pembinaannya akan menggunakan peruntukan daripada kerajaan Sarawak.

"Dengan itu, kita akan keluarkannya (Pusat Pentadbiran Bersepadu Dalat) daripada RADDA dan kini kita mempunyai peruntukan (daripada RADDA) untuk kita membuat projek-projek lain.

"Jadi, saya telah buat keputusan daripada peruntukan tersebut, kita akan gunakan untuk membina baharu masjid dan surau yang usang di kawasan kita," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sejambak Kasih Hari Raya 2024 di Dewan Kompleks Kebajikan Dalat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pembinaan baharu masjid dan surau usang, beliau berkata, modus operandinya adalah menggunakan pelan yang telah diluluskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu, menerusi kaedah ini ia tidak perlu melalui proses-proses yang begitu lama.

"Kita belajar menerusi pengalaman kita membina masjid daerah yang melalui pelbagai proses termasuk beberapa kali pertukaran reka bentuk.

"Jadi, pengalaman itu mengajar kita bahawa untuk membina masjid dan surau di kawasan kampung, kita akan menggunakan pelan yang telah diluluskan oleh JKR," katanya.

Mengenai program Sejambak Kasih Hari Raya berkenaan, Fatimah berkata, jumlah penerima sumbangan Hari Raya di Sarawak adalah 16,624 orang daripada 54,321 orang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).

Beliau berkata, para penerima akan menerima sumbangan wang tunai RM100 dan hamper bernilai RM80.

"Bagi kawasan Dalat, terdapat seramai 602 penerima bantuan beragama Islam dan seramai 204 orang dijemput untuk hadir menerima sumbangan hari ini," katanya.

Beliau turut mendedahkan dari Januari hingga Mac 2024, JKMS telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM64,495,350 untuk 54,321 penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak.

Advertisement