Anda di sini

Mustapha sedia galas amanah, akur keputusan presiden parti

Advertisement
 Mustapha (dua kiri) menyampaikan sumbangan sempena Program Semarak Ramadan KPT kepada salah seorang penerima pada majlis itu.
SUMBANGAN: Mustapha (dua kiri) menyampaikan sumbangan sempena Program Semarak Ramadan KPT kepada salah seorang penerima pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Belud Datuk Mustapha Sakmud bersedia untuk menggalas tanggungjawab sekiranya dipilih sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada kepimpinan parti terutama Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta ketua-ketua cabang untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

Katanya, perkara itu terpulang kepada ketua-ketua cabang kerana akhirnya presiden akan memilih ketua cabang yang mendapat sokongan majoriti untuk jawatan berkenaan.

"Kita tengok macam mana, Insya Allah kalau ketua-ketua cabang dan presiden memberi amanah dan tanggungjawab, saya bersedia untuk galas tanggungjawab ini," katanya ketika ditanya mengenai khabar angin beliau sebagai calon sesuai menjadi Pengerusi MPN Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi ditemui media pada Majlis Semarak Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) @UiTM Sabah di sini semalam.

Mustapha berkata, apa yang penting sekarang adalah kesatuan dalam pimpinan parti kerana tanpa kesatuan, dikhuatiri kepimpinan parti tidak dapat bergerak seperti yang diharapkan.

"Justeru saya fikir, kita serahkan kepada presiden parti untuk memilih yang terbaik.

"Kita akan akur dengan apa pun keputusan berpandukan perlembagaan parti iaitu pengerusi MPN yang mendapat sokongan majoriti ketua-ketua cabang," jelasnya.

Sebelum ini, kemelut kepimpinan MPN Sabah mula tercetus selepas seramai 15 ketua cabang menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyatakan pendirian mereka yang sebulat suara menolak kepimpinan Pengerusi MPN Sabah Datuk Sangkar Rasam.

Tindakan berkenaan dimaklumkan dalam mesyuarat MPN PKR Sabah di sini pada 17 Mac lepas.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, jentera PKR Sabah perlu diperkasakan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mungkin berlaku bila-bila masa sahaja.

"Kita mahu ada ketua yang boleh memimpin PKR negeri supaya kita dapat berurusan mengenai bilangan kerusi dan kawasan yang mahu ditandingi.

"Kita akan gerakkan jentera di peringkat akar umbi dengan memperbanyakkan program. Justeru, kita perlu ada perubahan.

"Kalau tidak, kita takut parti-parti lain sudah ke depan tapi kita masih lagi di tahap seolah-olah PRN itu masih lama. Ini kegusaran kita di peringkat ketua-ketua cabang," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya presiden parti dapat membuat keputusan cepat dan segera 'move on' kerana siapa pun yang dipilih sebagai pengerusi MPN, pihaknya akan akur.

Menurutnya, presiden parti dijangka turun ke Sabah pada 20 April depan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri.

Katanya, pada masa sama, ketua-ketua cabang akan mengadakan pertemuan dengan presiden untuk memberikan pandangan mengenai kemelut yang berlaku.
 

  • oleh
  • Advertisement