Anda di sini

Usia bukan faktor Messi tamatkan karier

Advertisement
MESSI
MESSI


MIAMI: Lionel Messi berkata usia tidak akan memainkan satu faktor dalam keputusannya untuk bersara dan dia akan tahu bila masa yang tepat untuk mengakhiri kariernya sebagai pemain sekiranya dia tidak dapat memberikan sumbangan yang diperlukan untuk kejayaan pasukannya.

Kapten skuad kebangsaan Argentina berusia 36 tahun itu memberikan gambaran tentang bila dia akan bersara, dengan kontraknya di kelab Inter Miami akan tamat pada Disember 2025.

“Saya tahu ketika ini saya tahu saya tidak bermain dengan baik, dan saya tidak berasa gembira dan tidak membantu rakan-rakan sepasukan,” kata Messi.

“Saya seorang yang mengkritik diri saya jadi saya tahu bila saya bagus dan bila saya tidak bagus. Bila saya bermain dengan baik dan bila bermain dengan buruk... dan apabila saya merasakan ia adalah masa untuk mengambil langkah itu, saya akan melakukannya tanpa memikirkan tentang usia. Jika saya berasa bagus, saya akan sentiasa cuba untuk bersaing, kerana itu adalah apa yang saya suka dan apa yang saya tahu.”

Pemenang lapan anugerah Ballon d’Or, yang menjadi kapten Argentina ketika memenangi Piala Dunia 2022, dijangka akan mengetuai pasukannya untuk kejohanan Copa Amerika pada musim panas ini.

“Jika semuanya tidak berlaku seperti di Qatar (Piala Dunia 2022), saya mungkin sudah meninggalkan skuad kebangsaan,” kata Messi.

Messi tidak beraksi kerana kecederaan dan terlepas dua perlawanan persahabatan antarabangsa ketika Argentina menewaskan El Salvador dan Costa Rica.

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni berkata Messi adalah pemain tunggal yang dijamin satu tempat dalam skuadnya.

“Saya terus menganalisa pemain lain tetapi tiada siapa yang dijamin satu tempat kecuali seorang yang tidak berada di sini,” kata Scaloni ketika merujuk ketiadaan Messi pada Selasa selepas menewaskan Costa Rica 3-1 di Los Angeles.

Jurulatih Inter Miami, Gerardo Martino baru-baru ini berkata Messi mempunyai keazaman yang saya untuk menang seperti ketika kedua-dua mereka masih di kelab Barcelona.

Messi menjadi pemain paling hebat sepanjang zaman apabila memenangi kejuaraan ke-44 dalam kariernya selepas membantu Inter Miami menjulang Piala Liga 2023 pada bulan Ogos. — AFP

Advertisement