Anda di sini

Sikap berkongsi rezeki perlu dijadikan amalan: Nizam

Advertisement
 Nizam (dua kiri) dan Muhammad Shahnon (kiri) ketika menyampaikan sumbangan berkenaan.
SUMBANGAN: Nizam (dua kiri) dan Muhammad Shahnon (kiri) ketika menyampaikan sumbangan berkenaan.

TAWAU: Sikap berkongsi rezeki kepada golongan kurang berkemampuan dan asnaf perlu dijadikan satu amalan terutamanya setiap kali menjelang musim perayaan.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif itu harus dijadikan program wajib bagi syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkemampuan.

Katanya, melalui program berkongsi rezeki juga dapat meringankan beban golongan asnaf khususnya menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

“Kita sedia maklum, bukan semua keluarga berkemampuan untuk membeli juadah atau pakaian baharu pada musiam perayaan disebabkan pendapatan yang hanya cukup makan sahaja.

“Justeru, bagi mereka yang mempunyai kelebihan perlu berkongsi rezeki, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Kampung Batu Payung, di sini semalam.

Sumbangan itu adalah inisiatif syarikat Armada Group of Company, Pertubuhan Pembangunan Islam Sabah (IDEAS) dan Pusat Zakat Sabah (PZS).

Menurutnya, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) diminta supaya bersama-sama kerajaan dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Saya memuji syarikat Armada Group of Company dan IDEAS kerana kerap menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu golongan asnaf di daerah ini.

“Inisiatif mereka perlu dicontohi oleh semua syarikat korporat dan NGO di daerah ini supaya lebih ramai lagi asnaf dapat dibantu,” katanya.

Selain itu, katanya, PZS juga harus diberi pujian kerana telah menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik sehingga ramai asnaf mendapat mafaatnya.

“Saya berharap dengan sumbangan ini dapat meringankan bebanan penerima khususnya dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar,” katanya.

Sementara itu, pengarah Armada Group of Company merangkap Pengerusi IDEAS Muhammad Shahnon Basir berkata, program kolaboratif ini adalah aktiviti tahunan yang diadakan setiap bulan Ramadan.

Katanya, sumbangan kali ini mensasarkan seramai 121 penerima terdiri golongan asnaf dan kurang berkemampuan di sekitar Kampung Batu Payung.

“Program ini adalah tahun kelima kolaboratif antara Armada Group of Company dan IDEAS menyantuni golongan sasar.

“Pada tahun ini, kami juga turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa madrasah dan program menyediakan juadah berbuka puasa di masjid terpilih,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement