Anda di sini

Polis Miri nafi kejadian samun bersenjata di Vista Perdana

Advertisement
Tangkap layar dari satu rakaman CCTV yang tular menunjukkan dua suspek memecah masuk ke dalam sebuah rumah di Hilltop Utama.
Tangkap layar dari rakaman CCTV tular menunjukkan dua suspek memecah masuk ke dalam sebuah rumah di Hilltop Utama yang didakwa berlaku di Vista Perdana.

MIRI: Polis menafikan kes samun bersenjata di Vista Perdana di sini seperti yang tular di media sosial pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata pihaknya mengesahkan telah menerima rakaman video bersama mesej yang menyatakan terdapat kejadian samun berlaku di sebuah rumah di kawasan berkenaan yang tular di dalam media sosial. 

“Hasil semakan mendapati rakaman video yang ditularkan merupakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes yang telah dilaporkan di Hilltop Utama pada 20 Mac lalu dimana kes ini masih disiasat oleh pihak polis. 

“Tiada apa-apa kejadian jenayah juga yang dilaporkan di kawasan Vista Perdana setakat ini seperti mana dinyatakan dalam mesej tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Sehubungan itu, Alexson menasihati masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan isu-isu yang belum disemak kesahihan di media sosial. 

“Tindakan seperti ini boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran di kalangan masyarakat tempatan. 

“Selain itu, masyarakat juga diminta untuk sentiasa peka dengan persekitaran masing-masing serta meningkatkan sistem kawalan keselamatan di kediaman seperti pemasangan CCTV ataupun sistem alat penggera,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Alexson menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan perlakuan ini untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi di talian 085-433730 bagi menyalurkan maklumat.

Katanya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat menghargai keprihatinan masyarakat terhadap keselamatan dan persekitaran di daerah Miri. 

  • oleh
  • Advertisement