Anda di sini

Pemuda didakwa miliki dadah berbahaya

Advertisement
 


MIRI: Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis 3.4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
    
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.
    
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mei depan untuk sebutan lanjut kes sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes siap.
    
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela diperintahkan dibebas dengan jaminan RM4,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.
    
Chung Wai Teck, 24, dari Taman Pelita di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta yang sama.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta boleh disebat tidak kurang dari tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali, jika sabit kesalahan.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa memiliki dadah berbahaya jenis MDMA seberat 17.2 gram.
    
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 4.35 petang, 9 Disember 2023 di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi dengan nombor pendaftaran QMQ31xx di belakang sebuah pusat penjagaan kecantikan dan kesihatan di Jalan Zebrina di sini.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Randu Rangen.

Advertisement