Anda di sini

Pemain industri perkayuan harus tumpu ekonomi hijau, teknologi tinggi: Awang Tengah

Advertisement
Awang Tengah menyerahkan sumbangan derma tahunan PUSAKA kepada wakil penerima sambil disaksikan Zainal Abidin (tiga kiri), Naroden (tiga kanan) serta Hashim (dua kanan) pada majlis tersebut.
Awang Tengah menyerahkan sumbangan derma tahunan PUSAKA kepada wakil penerima sambil disaksikan Zainal Abidin (tiga kiri), Naroden (tiga kanan) serta Hashim (dua kanan) pada majlis tersebut.

KUCHING: Pemain industri perkayuan disyorkan untuk menyesuaikan semula model perniagaan mereka dengan menumpukan kepada ekonomi hijau dan teknologi tinggi.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pemain industri perlu melihat kepada cara baharu dalam perniagaan mereka agar lebih berdaya saing, selain selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menumpukan kepada ekonomi hijau.

“Dimaklumkan selepas Hari Raya nanti, insya-Allah Yang Amat Berhormat Premier kita akan mengadakan lawatan satu loji tenaga yang dijana menerusi kayu pelet (produk biojisim).

“Ini peluang yang harus dimanfaatkan anda dan jangan hanya bergantung kepada eksport kayu sahaja dan jangan bergantung kepada 100 peratus eksport produk utama seperti papan lapis tetapi teroka ekonomi baharu, ekonomi sirkular dan ekonomi digital,” ujarnya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Sumbangan Tahunan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan anak-anak syarikat di Wisma Sumber Alam di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, industri biojisim mempunyai potensi yang besar untuk diterokai dalam pembangunan ekonomi hijau. 

“Untuk kayu pelet ini, kita telah mengeksport ke negara Jepun, Korea dan Perancis susulan permintaan yang sangat tinggi kerana menumpukan kepada tenaga hijau, selain ia menawarkan harga yang baik.

“Kayu pelet mempunyai permintaan tinggi di pasaran global kerana ia merupakan bahan bakar yang lebih mesra alam berbanding bahan bakar fosil,” ujarnya.

Beliau pada masa yang sama menyarankan agar pemain industri perkayuan negeri mengadaptasikan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Katanya, ia menekankan penggunaan teknologi automasi dan digital untuk lebih berdaya saing sama ada di pasaran tempatan mahupun di pasaran global.  

“Anda perlu mengadaptasi teknologi baharu seperti IR 4.0 dalam operasi anda. Industri perkayuan kita menggaji kira-kira 100,000 orang sama ada secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Beliau menegaskan pembangunan industri itu dijangka akan menjadi 'game changer' untuk mencapai produk nilai tambah tinggi serta mengoptimum penggunaan sumber bahan mentah dari ladang hutan.

Sementara itu pada majlis berkenaan, Awang Tengah menyampaikan sumbangan derma kepada 65 badan amal terdiri daripada pertubuhan kebajikan, agama, pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pada tahun ini sejumlah keseluruhan RM337,000 disumbangkan kepada 65 buah pertubuhan kebajikan, badan-badan amal, agama dan pendidikan.

Sehingga kini, jumlah terkumpul sumbangan derma semenjak majlis itu julung kali diadakan telah mencecah hampir RM10 juta.

Hadir sama, Pengurus Besar PUSAKA Zainal Abidin Abdullah, Ahli Lembaga Pengurusan PUSAKA Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Penasihat PUSAKA Datu Hashim Bojet.

  • oleh
  • Advertisement