Anda di sini

KWB sedang naik taraf salah satu loji di Batu Kitang: Julaihi

Advertisement
Julaihi (duduk, tengah) merakamkan kenangan bersama warga Lembaga Air Kuching ketika lawatan ke Loji Rawatan Air Kuching, hari ini.
Julaihi (duduk, tengah) merakamkan kenangan bersama warga Lembaga Air Kuching ketika lawatan ke Loji Rawatan Air Kuching, hari ini.

KUCHING: Lembaga Air Kuching (KWB) sedang menaik taraf salah satu lojinya di Batu Kitang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawatnya kepada 884 juta liter sehari (MLD).  

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kapasiti Loji Rawatan Air Batu Kitang pada masa sekarang ialah 780 MLD bagi memenuhi permintaan sebanyak 730 MLD. 

"Loji yang dinaik taraf sekarang ialah akan memberi tambahan kapasiti 104 MLD menjadikan jumlah kapasiti kepada 884 MLD. 

"Jadi kita berharap dengan peningkatan hasil air di loji yang sedang dinaik taraf ini, kita dapat membekalkan air yang diperlukan bagi kawasan bandar Kuching, Petra Jaya, Santubong, Rambungan, Sampadi dan Demak Laut. 

"Ini antara kawasan yang mendapat manfaat daripada penarafan loji di Batu Kitang ini," katanya kepada pemberita semasa lawatan ke Loji Rawatan Air Batu Kitang di sini, hari ini. 

Tambah Julaihi, selain membekalkan air ke kawasan tersebut, loji itu juga memenuhi permintaan daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk dibekalkan ke kawasan Bahagian Samarahan hingga ke kawasan Sadong Jaya, Asajaya, Sebuyau, Sebangan dan sebahagian Simunjan. 

Sebab itu katanya, Loji Rawatan Air Batu Kitang sangat penting kerana JBALB bergantung kepadanya untuk membekalkan air ke kawasan Bahagian Samarahan. 

Ujar Julaihi lagi, kos bagi kerja-kerja menaik taraf loji ini adalah sebanyak RM107 juta dibiayai sepenuhnya kerajaan Sarawak dan dijangka siap sepenuhnya menjelang bulan Julai tahun ini. 

Selain meningkatkan kapasiti pengeluaran air kepada 884 MLD, kerja-kerja naik taraf ini juga akan meningkatkan margin rizab Loji Rawatan Air Batu Kitang kepada 12 peratus berbanding lima peratus. 

"Ini merupakan usaha beterusan kerajaan Sarawak untuk menambah air terawat untuk kawasan yang dinyatakan. 

"Sekarang kontraktor masih menjalankan ujian dan pengoperasian dan berharap Julai nanti, kapasiti loji ini akan meningkat kepada 884 MLD dengan margin rizab 12 peratus," katanya. 

  • oleh
  • Advertisement