Anda di sini

Kaedah kupon untuk tukar tong gas di Pusat Khidmat Bukit Assek 

Advertisement
Chieng (tengah) pada program penukaran silinder gas LPG kuning MyGaz kepada silinder merah PETROS di Gereja Methodist Xin Fu Yuan (SCAC), pada Rabu.
Chieng (tengah) pada program penukaran silinder gas LPG kuning MyGaz kepada silinder merah PETROS di Gereja Methodist Xin Fu Yuan (SCAC), pada Rabu.

SIBU: Pusat Khidmat Bukit Assek telah menggunakan kaedah kupon untuk program penukaran silinder gas petroleum cecair (LPG) kuning MyGaz kepada silinder merah PETROS, petang Rabu.

Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Bukit Assek Dato Chieng Buong Toon berkata, inisiatif itu adalah sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan pada program tersebut.

"Program ini berjalan lancar, orang ramai berdaftar di pejabat (Pusat Khidmat Bukit Assek) terlebih dahulu untuk mendapatkan kupon dan mendapatkan tong gas di sini.

"Program dibahagikan kepada tiga slot iaitu dari jam 6 petang hingga 7 malam, diikuti dari 7 malam hingga 8 malam dan 8 malam hingga 9 malam.

"Semua slot sudah penuh dan kita menyediakan 500 tong gas," ujarnya ketika ditemui pemberita pada program penukaran silinder gas LPG kuning MyGaz kepada silinder merah PETROS di Gereja Methodist Xin Fu Yuan (SCAC).

Chieng berterima kasih kepada orang ramai kerana memberikan kerjasama dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan pada program kali ini.

"Tidak seperti program sebelum ini, semua orang datang dan menyebabkan aliran trafik menjadi sesak," katanya.

Chieng juga akan mengadakan perbincangan bersama PETROSNiaga Sdn Bhd berikutan orang ramai masih memerlukan tong gas tersebut.

Advertisement