Anda di sini

Jambatan bernilai RM35 juta bakal dibina di Nanga Bangkit

Advertisement
LIDAM
LIDAM

SONG: Sejumlah RM35 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan sebuah jambatan yang dijangka akan menjadi mercu tanda penting dalam pembangunan infrastruktur di Nanga Bangkit, di sini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan berkata, pembinaan jambatan tersebut bertujuan untuk meningkatkan jaringan perhubungan serta memperbaiki struktur jalan di kawasan tersebut.

Lidam juga menyatakan keyakinan bahawa jambatan baru ini akan memperkuat hubungan antara komuniti di sekitarnya, memudahkan pergerakan penduduk dan turut mempromosikan pertumbuhan ekonomi setempat.

"Dana sebanyak RM35 juta yang diperuntukkan untuk projek ini dianggap sebagai langkah penting dalam pembangunan infrastruktur di kawasan sekitar Nanga Bangkit, di sini" katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain pembinaan jambatan, Lidam turut mengumumkan sejumlah RM70 juta akan dibelanjakan untuk memulakan pembinaan fasa pertama Jalan Ulu Sungai Bangkit.

Katanya, projek pembinaan jalan ini merupakan tonggak penting dalam usaha meningkatkan akses dan pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar Katibas.

"Pembinaan jalan ini juga sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak melalui pembangunan infrastruktur yang mapan dan berkualiti," jelas beliau.

Beliau juga menekankan bahawa pembinaan jalan tersebut akan merapatkan jurang antara komuniti-komuniti serta membuka pintu kepada peluang pembangunan ekonomi yang baru di kawasan tersebut.

"Dengan adanya kemudahan jalan raya, ia secara tidak langsung membuka peluang baru untuk pertumbuhan ekonomi dan pendidikan yang akan membawa perubahan besar kepada kehidupan rakyat," katanya.

  • oleh
  • Advertisement