Anda di sini

BBP Sri Aman agih bubur lambuk pada kempen keselamatan kebakaran

Advertisement
Muhammad Rais (dua kanan) menyampaikan bungkusan bubur lambuk kepada salah seorang pengguna jalan raya di hadapan balai BBP Sri Aman sambil diperhatikan Andrew (kiri) dan Tony. - Gambar BBP Sri Aman
Muhammad Rais (dua kanan) menyampaikan bungkusan bubur lambuk kepada salah seorang pengguna jalan raya di hadapan balai BBP Sri Aman sambil diperhatikan Andrew (kiri) dan Tony. - Gambar BBP Sri Aman

SRI AMAN: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah berjaya mengagihkan 350 bungkus bubur lambuk kepada masyarakat setempat serta beberapa agensi kerajaan di sini, pada Rabu.

Aktiviti memasak dan mengagihkan bubur lambuk berkenaan antara pengisian program Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Aidilfitri di hadapan premis BBP Sri Aman di Jalan Sabu. 

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 3 Sri Aman Muhammad Rais Adham Rosalan semasa melancarkan program tersebut menyeru masyarakat agar sentiasa mengambil berat terhadap aspek keselamatan yang melibatkan kes kebakaran.

“Kurang dua minggu lagi umat Islam akan merayakan perayaan Aidilfitri dan kita menyeru kepada semua masyarakat yang akan balik ke kampung halaman agar sentiasa memastikan rumah mereka selamat untuk ditinggalkan.

“Paling penting ialah kita perlu memastikan semua suis elektrik dipadamkan sebelum meninggalkan rumah dan perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa keselamatan atau jiran tetangga untuk melihat-lihat rumah kita dan sebagainya,” ujarnya.

Menurutnya, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini semua anggota masyarakat perlu bekerjasama.

Muhammad Rais menambah, pada tahun ini BBP Sri Aman telah mengagihkan sebanyak 350 bungkus bubur lambuk kepada masyarakat setempat serta agensi berkaitan.

Daripada jumlah berkenaan katanya, 200 bungkus diagihkan kepada beberapa agensi manakala 150 bungkus diagihkan di hadapan balai kepada pengguna jalan raya.

Dalam pada itu katanya, program pada tahun ini turut mendapat kerjasama Bank Kerjasama Rakyat Cawangan Sri Aman.

Turut hadir menjayakan program ialah Ketua Balai Bomba Sri Aman Andrew Vengitasamy, Pegawai Kanan Bomba (PBK) I Tony Morni merangkap Pegawai Operasi Balai, Penyelia Pasukan Alpha, Bravo dan Charlie serta anggota BBP Sri Aman yang lain.

Advertisement