Anda di sini

APMM bantu kawal kebakaran di Miri dengan pesawat Bombardier CL-415

Advertisement
Pesawat Bombardier CL-415 milik APMM mengambil air di sungai berdekatan bagi memadamkan kebakaran hutan tanah gambut di Sungai Adong pada Rabu.
Pesawat Bombardier CL-415 milik APMM mengambil air di sungai berdekatan bagi memadamkan kebakaran hutan tanah gambut di Sungai Adong pada Rabu.

MIRI: Sebanyak kira-kira 30,000 liter air digunakan pesawat Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memadamkan kebakaran hutan tanah gambut di Sungai Adong, di sini bermula pada Rabu. 

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, operasi pemadaman kebakaran diaktifkan bermula jam 3 petang sebaik sahaja pesawat itu tiba di Miri. 

“APMM telah mengatur gerak pesawat Bombardier CL-415 miliknya bagi membantu dalam operasi memadamkan kebakaran hutan tanah gambut secara bersepadu bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). 

“Pemadaman menggunakan pesawat itu telah menerapkan teknik pengeboman air dengan menyasarkan kepala air dan sebanyak 30,000 liter air telah digunakan bagi memadamkan kebakaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini. 

Beliau menambah, operasi pemadaman ini akan diteruskan sehingga seluruh kawasan kebakaran berjaya dipadamkan. 

“Orang awam dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka berikutan cuaca panas yang sedang melanda negara pada ketika ini. 

“Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” nasihatnya. 

Operasi ini turut melibatkan pelbagai jabatan dan agensi, termasuk syarikat-syarikat swasta di daerah Miri yang datang memberi bantuan dalam mengawal dan memadam kebakaran tersebut.

Advertisement