Anda di sini

APDP tidak terpakai untuk saman kerajaan jika data peribadi dalam PADU bocor: Tiang

Advertisement
Gambar fail BERNAMA
Gambar fail BERNAMA

SIBU: Orang ramai yang telah mendaftar Pangkalan Data Utama (PADU) tidak boleh menuntut ganti rugi atau menyaman kerajaan sekiranya berlaku pelanggaran dan kebocoran data milik mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berkata, Seksyen 3 Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010 menerangkan dengan jelas akta ini tidak terpakai bagi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

"PADU merupakan satu inisiatif oleh agensi kerajaan persekutuan untuk mengumpul data peribadi dari seluruh rakyat di seluruh negara untuk membina satu pangkalan data pusat yang lengkap.

"Apabila kita bercakap mengenai data peribadi ini, ada APDP 2010 yang mengawal selia pemprosesan data peribadi berkenaan dengan transaksi komersial dan menyediakan asas untuk perlindungan data, termasuk persetujuan, had tujuan dan keselamatan data.

"Oleh itu mana-mana badan korporat atau entiti persendirian yang mengumpul data peribadi daripada orang ramai, mereka bertanggungjawab melindungi data tersebut agar tidak bocor.

"Jika berlaku kebocoran maklumat, individu atau kumpulan yang terjejas boleh menyaman pihak yang berkenaan mengikut akta ini," ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan notis pelantikan kepada tujuh ketua kaum di Pejabat Daerah Sibu, hari ini.

Namun menurut Tiang, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri terkecuali daripada APDP 2010, yang bermakna orang ramai tidak mempunyai peruntukan undang-undang bagi melindungi mereka sekiranya mana-mana agensi kerajaan yang menyebabkan data peribadi bocor atau gagal melindungi data peribadi tersebut.

Disebabkan itu kata beliau yang merupakan seorang pengamal perundangan, tidak pernah ada mana-mana pihak yang mengambil tindakan menyaman atau menuntut ganti rugi kerana tiada undang-undang yang melindungi, lebih-lebih lagi membabitkan agensi kerajaan jika data peribadi mereka bocor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu juga berpendapat, kerajaan persekutuan boleh menggunakan data peribadi yang telah ada yang hampir lengkap milik agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyalurkan subsidi dan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.
   
"Dengan hanya lebih kurang 20 peratus rakyat negara ini telah mendaftar PADU, bagaimana kerajaan persekutuan mahu melaksanakan subsidi bersasar atau memberikan bantuan," soal Tiang.

Beliau juga memberitahu kerajaan Sarawak mengarahkan pendaftaran PADU ditangguhkan selepas membuat kajian menyeluruh dan mendapati tidak ada peruntukan undang-undang bagi melindungi data peribadi bagi mereka yang mendaftar.

Oleh itu katanya, kabinet negeri memutuskan menangguhkan pendaftaran PADU sementara terus berkomunikasi dengan pihak kerajaan persekutuan dalam isu terbabit.    

Tiang juga memberitahu, pusat khidmatnya menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai berhubung isu ini sama ada mereka perlu mendaftar atau sebaliknya selepas membaca berita mengenai pendirian kerajaan Sarawak mengenai isu PADU.   

  • oleh
  • Advertisement