Anda di sini

58,080 KIR terjejas kemarau di Sabah terima bekalan air bersih

Advertisement
 Hajiji menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda.
SUMBANGAN: Hajiji menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengarahkan supaya bekalan air bersih diagihkan kepada 58,080 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat kemarau di negeri ini.

Hajiji berkata, agihan bekalan air itu membabitkan sebanyak 355 buah kampung dalam 12 daerah di seluruh negeri ini.

Katanya, bagi tujuan itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), katanya.

Menurutnya, Jabatan Air Negeri dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas kini sedang mengagihkan air kepada penduduk.

“Daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

“Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari lepas dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengesyorkan operasi pembenihan awan di kawasan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering pada 28 hingga 30 Mac.

“Operasi pembenihan awan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan.

“Semua kos berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh NADMA manakala MET Malaysia telah bersetuju menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal,” katanya.

Beliau berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

“Kita berharap operasi pembenihan awan akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM267,444 kepada JBPM untuk kegunaan membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas di negeri ini.

“Peralatan itu termasuk 27 pam mudah alih, 75 pam sandang berenjin, 906 unit alat pemerap api dan pencakar api

“Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan yang memusnahkan kawasan seluas 9,392.23 ekar di seluruh negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, daripada jumlah ini, kira-kira 8.55 ekar di tapak pelupusan sampah Kayu Madang masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

“Sehingga kini, JBPM telah mengerahkan 319 anggota bomba di seluruh Sabah. Kerajaan Negeri turut berjanji untuk memberi bantuan kepada jabatan itu bagi mengawal kebakaran,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement