Anda di sini

PIBG berperanan bantu tingkatkan prestasi pelajar: Jonathan

Advertisement
 Jonathan (tengah) menerima cendera kenangan daripada Ahmad Shahbirin.
PENGHARGAAN: Jonathan (tengah) menerima cendera kenangan daripada Ahmad Shahbirin.

RANAU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berperanan penting dalam melaksanakan sebarang usaha meningkatkan prestasi pendidikan pelajar di sesebuah sekolah.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, kerjasama bersepadu antara guru dan ibu bapa sangat penting untuk meletakkan pembelajaran pelajar-pelajar pada tahap cemerlang.

Katanya, tiada jalan pintas untuk melihat kecemerlangan pelajar kecuali dengan kerja keras dan kerjasama padu serta komitmen tinggi ibu bapa bersama guru di peringkat sekolah.

“Justeru, berilah kerjasama sepenuhnya kepada guru-guru dalam menjayakan sebarang program kurikulum dan kokurikulum supaya mereka menjadi masyarakat yang berguna.

“Peranan ibu bapa dan guru harus dipertingkatkan secara positif untuk mencapai kecemerlangan pelajar di samping mengharumkan nama baik sesebuah sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PIBG SMK Matupang Jaya di Dewan Baharu Kg Matupang Ranau, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Jonathan berkata, ibu bapa perlu menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak bermoral kepada anak kerana ia akan meninggalkan kesan yang negatif.

“Guru juga harus mengamalkan budaya sikap penyayang kepada semua pelajar tanpa ada perasaan pilih kasih kepada mereka,” katanya.

Dalam majlis itu, Jonathan mengumumkan peruntukan berjumlah RM6,000 kepada PIBG SMK Matupang Jaya untuk kegunaan dan program mereka.

Jonathan juga menyumbang RM2,000 untuk membeli perahu bagi kegunaan pelajar dari Kampung Lungkidau menyeberang Sungai Liwagu ke sekolah dan RM1,000 lagi disumbangkan kepada pelajar dan PIBG yang beragama Islam mengadakan majlis berbuka puasa.

Sementara itu, beliau juga menyokong dan membantu supaya SMK Matupang Jaya boleh mendapatkan peruntukan membina astaka dan padang di sekolah berkenaan.   

Pengetua SMK Matupang Jaya, Ahmad Shahbirin Subin pula dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Jonathan merasmikan MAT PIBG sekolah pada tahun ini.

Beliau turut mengambil kesempatan menyeru ibu bapa agar sentiasa memberi kerjasama kepada pihak sekolah untuk membuat program yang cemerlang dalam pendidikan anak-anak.

“Saya juga menggalakkan pelajar memasuki Kolej Vokasional (KV) kerana lepasan KV layak mendapat Sijil Kemahiran Tahap 3 dan mempunyai permintaan yang baik dalam pasaran kerja.

“Selain itu pelajar juga boleh menyambung diploma dalam bidang KV yang sama dan menyambung ke peringkat Ijazah di universiti pilihan seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP),” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, YDP PIBG SMK Matupang Jaya Markus Guntidong dan Timbalan YDP PIBG Siti Jaleha Mohd Jiman.

  • oleh
  • Advertisement