Anda di sini

Kesedaran masyarakat cegah kebakaran penting pada musim kemarau

Advertisement
 Pegawai JBPM memberikan demonstrasi berkenaan keselamatan kebakaran kepada penduduk.
DEMONSTRASI: Pegawai JBPM memberikan demonstrasi berkenaan keselamatan kebakaran kepada penduduk.
 Antara penduduk serta jemputan yang hadir dalam program ini.
HADIR: Antara penduduk serta jemputan yang hadir dalam program ini.

PUTATAN: Kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab bersama mencegah kebakaran khususnya kebakaran terbuka amat penting berikutan keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan yang melanda negara kini.

Kemarau di Sabah yang berlarutan sejak awal Februari lalu menyebabkan keadaan cuaca panas mencecah suhu melebihi 35 darjah Celsius selain menjejaskan bekalan air.

Cuaca panas turut menyebabkan kawasan hutan, belukar dan rumput serta lalang mudah terbakar selain membantu api merebak dengan cepat.

Setakat 14 Mac lalu, Tuaran mencatat kes kebakaran terbuka melibatkan lalang, belukar dan hutan tertinggi di Sabah dengan merekodkan sebanyak 220 kes.

Kebakaran terbuka turut direkodkan di 

Kota Belud, Kota Kinabalu, Penampang, Kimanis dan Kuala Penyu serta daerah lain di Sabah.

Dalam tempoh sama sejak Januari lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berjaya memadamkan kebakaran terbuka di kawasan seluas 1,721.29 hektar di negeri ini.

Tidak terhenti di situ, Kimanis kembali mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (API) tidak sihat dengan bacaan melebihi 100 atau tahap kuning iaitu mencecah 159, manakala Sepanggar dengan bacaan API 152.

Keadaan ini menunjukkan betapa pentingnya masyarakat di Sabah diberi peringatan dan kesedaran mengenai bahaya kebakaran terbuka.

Penduduk khususnya yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan hutan simpan perlu diingatkan agar tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelak berlaku kejadian bencana alam yang lebih buruk.

Bagi mencapai tujuan itu, Komuniti Rukun Tetangga Taman Teluk Villa Putatan, menganjurkan majlis berbuka puasa komuniti kemasyarakatan bersama pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Pegawai Daerah Putatan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh berkata, selain merapatkan silaturrahim antara masyarakat dan agensi keselamatan, ceramah mengenai pentingnya kesedaran mencegah kebakaran khasnya di rumah dan kawasan sekitar taman serta kepentingan untuk setiap rumah mempunyai pili bomba dan alat pemadam api turut diadakan.

“Program kali ini bukan setakat berbuka puasa semata-mata tetapi kita selitkan dengan program kesedaran termasuk demonstrasi dan tunjuk ajar daripada pihak berkuasa iaitu JBPM.

“Informasi berguna ini mampu mendidik kita untuk mencegah kebakaran terutamanya semasa keadaan cuaca yang agak panas dan kering.

“Kesedaran ini juga amat penting dan perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat khususnya di Putatan ini supaya kita memahami atau mempunyai kesedaran dan inisiatif untuk bersiap siaga menghindari kebakaran,” katanya semasa berucap pada program terbabit.

Ceramah keselamatan disampaikan 

Ketua Zon 1, JBPM Sabah, Misran Bisara dan sebuah syarikat pembekalan pili bomba yang juga bekas pegawai kanan JBPM turut hadir menjayakan program ini.

Hadir sama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Penampang dan Putatan.

Sementara itu, Penduduk Taman Teluk Villa Putatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Putatan Ahmad Mahmood berkata, program seumpama sangat dialu-alukan bagi memberi kesedaran tentang bahaya api apatah lagi di musim kemarau ini yang menyebabkab api senang untuk merebak.

“Kami selaku penduduk mengucapkan terima kasih kepada agensi yang menganjurkan program seperti kawasan Rukun Tetangga Taman Teluk Villa yang dapat memberikan satu kesedaran kepada masyarakat setempat semasa musim kemarau.

“Program ini adalah sebagai contoh kepada penduduk taman perumahan yang lain agar menitikberatkan kesedaran mengenai keselamatan dan juga kesedaran sivik mengenai kepentingan menjaga kebersihan taman perumahan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Taman Teluk Villa Putatan, Said Ombok berkata, program ini membantu memberikan pengetahuan baharu bagaimana untuk menangani kebakaran yang mulanya bermula di rumah.

“Selepas mengikuti program ini saya mendapat pengetahuan baharu melalui tunjuk ajar secara teliti dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan di kawasan perumahan lain terutama dalam keadaan kemarau sekarang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Khairul berkata demonstrasi yang diberikan pihak JBPM amat baik untuk penduduk taman ini yang boleh bertindak memadam kebakaran sekiranya berlaku kebakaran yang tidak diduga.

Pesara bomba, Juliana pula bersetuju dengan pendapat penduduk lain dan menyatakan program seumpama sangat baik untuk keselamatan penduduk berikutan banyak kebakaran berlaku pada musim kemarau sekarang.

“Tidak mustahil sekiranya kita lalai dan cuai, berkemungkinan akan berlaku kebakaran di sini, maka program sebegini perlu diadakan secara lebih kerap,” katanya.

Sebaik taklimat dan demonstrasi dijalankan turut diadakan majlis berbuka puasa bersama penduduk Taman Teluk Villa bagi merapatkan lagi silaturrahim bersama agensi keselamatan. 

  • oleh
  • Advertisement