Anda di sini

Curi bedak asas, wanita dipenjara dua bulan dan didenda RM100

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita warga emas dari Indonesia dipenjara dua bulan dan didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret hari ini akibat mencuri sebotol bedak asas cecair (foundation) dari sebuah kedai di pusat beli-belah di Jalan Simpang Tiga, di sini.

Majistret Zubaidah Sharkawi memerintahkan Maryati Katong Giman, 58, dipenjara dua minggu sekiranya gagal membayar denda, selain mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selesai menjalani hukuman.

Tertuduh mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda jika sabit kesalahan. 

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 1 Februari 2024 sekitar jam 4.51 petang di kedai penjagaan kesihatan dan kecantikan di dalam sebuah pusat beli-belah di Jalan Simpang Tiga di sini. 

Fakta kes mendedahkan pengurus kedai (pengadu) melakukan pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis pada 2 Februari 2024 dan mendapati terdapat seorang pelanggan perempuan dalam keadaan mencurigakan telah membuka satu bungkusan produk bedak asas cecair.

Pelanggan itu kemudian membawa keluar produk tersebut melepasi sistem kawalan keselamatan pada pintu utama premis tanpa membuat sebarang pembayaran sehingga mengakibatkan kerugian sekitar RM73.50.

Susulan itu, laporan polis dibuat dan hasil siasatan membawa kepada penangkapan tertuduh pada 3 Februari 2024. 

Hasil siasatan lanjut mendapati selain rakaman CCTV, terdapat seorang saksi mata iaitu pekerja kedai berkenaan yang menyatakan bahawa dia ternampak perbuatan tertuduh mengoyakkan plastik mengandungi kod bar pada balutan botol bedak asas cecair itu di rak jualan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement