Anda di sini

Robinho ditangkap berikutan kes rogol yang dihadapinya

Advertisement
Pengamal media berkumpul di luar rumah Robinho di Sao Paulo Brazil. — Gambar AFP
Pengamal media berkumpul di luar rumah Robinho di Sao Paulo Brazil. — Gambar AFP

SANTOS: Bekas pemain bola sepak Manchester City dan Real Madrid, Robinho telah ditangkap di Brazil kelmarin, selepas rayuan mahkamahnya ditolak untuk menangguhkan hukuman sembilan tahun atas kesalahan merogol seorang wanita sedekad lalu.

Hakim Mahkamah Agung Luiz Fux menolak permintaan Robinho untuk penangguhan tersebut dan memutuskan “perintah penahanan dikekalkan supaya dia boleh mula menjalani hukumannya.”

Polis di bandar tenggara Santos berkata dalam satu kenyataan kelmarin bahawa pasukannya “melaksanakan waran tangkap terhadap Robson de Souza.”

“Banduan itu akan menjalani pemeriksaan di Institut Undang-undang Perubatan, pendengaran jagaan dan akan dihantar ke penjara.”

Lebih dikenali sebagai “Robinho,” pemain bola sepak itu didapati bersalah oleh mahkamah Itali pada 2017 kerana mengambil bahagian dalam jenayah rogol beramai-ramai ke atas seorang wanita Albania yang meraikan hari jadinya yang ke-23 di kelab malam Milan empat tahun sebelumnya.

Bekas pemain antarabangsa Brazil itu, kini berusia 40 tahun, kalah dalam rayuan pada 2020 dan hukumannya dikekalkan oleh mahkamah tertinggi Itali pada 2022, dan pendakwa raya Itali mengeluarkan waran tangkap antarabangsa untuknya.

Brazil tidak mengekstradisi warganya itu dan Itali meminta Robinho menjalani hukuman di negara asalnya.

Mahkamah di Brasilia bersetuju dengan keputusan itu pada hari Rabu, dengan sembilan undi berbalas dua, dan kelmarin presiden mahkamah Maria Thereza de Assis Moura menandatangani dokumen yang meluluskan waran dikeluarkan untuk memasukkan Robinho ke penjara.

Peguamnya kemudian memfailkan permintaan kepada Mahkamah Agung untuk membenarkannya bebas sambil mencabar keputusan terkini mahkamah.

Rayuan itu ditolak.

Pemain bola sepak itu mengaku tidak bersalah, memberitahu berita Brazil, TV Record dalam satu temu bual yang disiarkan Ahad bahawa hubungan seks itu adalah atas dasar suka sama suka dan menuduh sistem keadilan Itali berunsur perkauman.

Menurut aduan itu, Robinho dan rakan lain telah membuatkan wanita muda itu minum “sehingga dia tidak sedarkan diri dan tidak dapat melawan” dan kemudian melakukan “hubungan seksual beberapa kali bergilir-gilir” dengannya.

Pada Mac 2021, mahkamah rayuan Milan mendapati Robinho telah bertindak dengan “penghinaan ke atas mangsa, yang telah dimalukan dengan kejam.”

Bagi Robinho, ia kejatuhan dramatik daripada kegemilangan.

Setelah memulakan kerjayanya pada tahun 2002 di Santos, sebuah pasukan terkenal Brazil oleh pemain legenda Pele, dia disebut-sebut sebagai pengganti kepada generasi emas Ronaldo, Rivaldo dan Ronaldinho.

Pada 2005, dia menyertai Zinedine Zidane, Ronaldo dan David Beckham di Real Madrid.

Dia terus bermain untuk Manchester City dari 2008 hingga 2010, dan untuk Milan selama empat tahun hingga 2014.

Pada 2009, dia ditahan di England atas dakwaan serangan seksual terhadap seorang wanita muda, tetapi tuduhan itu digugurkan selepas siasatan.

Dia berusaha untuk kembali ke Santos pada 2020 tetapi kelab itu menggantung perjanjian mereka selepas dicemuh oleh peminat dan penaja, yang menamatkan kerjayanya secara tiba-tiba.

Pada masa yang sama, saluran berita Globo Sports telah menerbitkan petikan rakaman oleh pendakwa raya Itali yang digunakan membina sabitan mereka, yang mana Robinho berkata: “Saya ketawa kerana saya tidak peduli. Wanita itu mabuk sepenuhnya. Dia tidak tidak tahu pun apa-apa yang berlaku.” — AFP
 

Advertisement