Anda di sini

Lapan rumah terbakar di Kampung Haji Baki

Advertisement
Keadaan kebakaran melibatkan lapan rumah di Kampung Haji Baki, Kuching awal pagi tadi.
Keadaan kebakaran melibatkan lapan rumah di Kampung Haji Baki, Kuching awal pagi tadi.

KUCHING: Sebanyak lapan rumah di Kampung Haji Baki di sini dilaporkan terbakar, awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada jam 5.22 pagi.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, Tabuan Jaya dan Padungan dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

"Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan lapan rumah, di mana empat telah musnah sepenuhnya dan empat lagi terbakar 30 peratus struktur rumah.

"Pasukan bomba terus bertindak memadam kebakaran dengan mengunakan sumber air dari pili bomba berdekatan sehingga api berjaya dikawal pada jam 6.38 pagi," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kerja-kerja pemadaman diteruskan sehingga tiada lagi punca nyalaan api.

Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 9.22 pagi dan anggota bomba bertolak balik ke balai selepas memastikan keadaan selamat.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran JBPM Sarawak.
 

  • oleh
  • Advertisement