Anda di sini

Malaysia negara ranking terendah terajui saingan kumpulan kelayakan Piala Dunia 2026

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul negara dengan ranking dunia terendah yang mendahului saingan kumpulan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026, bagi zon Asia setakat ini.

Ia susulan kemenangan dicatat skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon dalam dua aksi pertama, selepas mengejutkan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, di sini dan menewaskan Taiwan 1-0 di Taipei, masing-masing pada tahun lepas.

Dua kemenangan itu menyaksikan Malaysia yang menghuni ranking dunia ke-132, kini mendahului saingan Kumpulan D selepas mengumpul enam mata, diikuti Oman kedua yang berkongsi tiga mata bersama Kyrgyzstan manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Dalam keseluruhan sembilan kumpulan bagi saingan zon Asia, Malaysia satu-satunya bukan negara kelompok 100 terbaik dunia, yang mengutip enam mata daripada dua perlawanan pertama untuk berada di puncak.

Lapan lagi negara yang mendahului saingan kumpulan masing-masing ialah juara Piala Asia 2023, Qatar bagi Kumpulan A, diikuti Jepun (Kumpulan B), Korea Selatan (Kumpulan C), Iran (Kumpulan E), Iraq (Kumpulan F), Arab Saudi (Kumpulan G), Emiriah Arab Bersatu (Kumpulan H) dan Kumpulan I, Australia. 

Daripada lapan negara itu, Jepun memiliki ranking paling baik di posisi ke-18, diikuti Iran (20), Korea Selatan (22), Australia (23), Qatar (37), Arab Saudi (53), Iraq (59) dan Emiriah Arab Bersatu di posisi ke-69.

Terdahulu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memuat naik hantaran berhubung sembilan negara yang mendahului saingan kumpulan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 bagi zon Asia, di laman Instagram rasmi badan induk itu.

Kelayakan Piala Dunia 2026 bagi zon Asia dijalankan serentak bersama Kelayakan Piala Asia 2027.

Pasukan negara akan menyambung saingan kumpulan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dengan bertemu Oman di Muscat pada esok malam (Jumaat, 2 pagi waktu Malaysia), sebelum melayani kunjungan mereka di Bukit Jalil pada 26 Mac ini.

Selepas dua perlawanan menentang Oman, anak buah Pan Gon akan bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan menamatkan saingan kumpulan D menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat ke saingan Piala Asia 2027, sementara dua pasukan terbawah akan beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.- BERNAMA
 

Advertisement