Anda di sini

Acerbi tinggalkan kem latihan, disiasat kerana melakukan cemuhan berbaur perkauman

Advertisement
JESUS
JESUS

MILAN: Francesco Acerbi pada Isnin meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan Itali menjelang dua perlawanan persahabatan di Amerika Syarikat (AS) selepas laporan di mana dia akan disiasat kerana dakwaan melakukan cemuhan perkauman ke arah pemain pertahanan kelab Napoli, Juan Jesus.

Dalam satu kenyataan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), berkata bahawa Acerbi, pemain pertahanan kelab Inter Milan, sudah memberikan “versi dia sendiri mengenai insiden” kepada rakan sepasukannya di Itali dan jurulatih Luciano Spalletti “mengenai dakwaan kenyataan perkauman”.

FIGC menambah bahawa Acerbi berkata bahawa dia “tidak mempunyai hasrat mengeluarkan kata-kata hinaan atau perkauman” tetapi dia akan digugurkan dari skuad 28 pemain yang disenaraikan untuk perlawanan persahabatan menentang Venezuela dan Ecuador dalam persediaan untuk mempertahankan kejuaraan di Euro 2024.

Pemain pertahanan tengah kelab AS Roma, Gianluca Mancini, menggantikan tempat Acerbi, yang akan disoal siasat oleh pihak disiplin FIGC berikutan dakwaan Jesus di mana pemain itu menggunakan penghinaan perkauman ketika Inter seri 1-1 dengan Napoli pada Ahad lepas.

Jesus, pemain antarabangsa Brazil, dilihat membuat bantahan kepada pengadil perlawanan, Federico La Penna, sambil menunjukkan ke arah lencana “Jauhi Perkauman” di jersinya dan kelihatan berkata bahawa “(Acerbi) memanggilnya saya seorang negro”.

Selepas perlawanan, Jesus, yang menjaringkan gol penyamaan lewat Napoli, menolak insiden itu dengan berkata bahawa Acerbi telah “melangkaui batas” ketika tidak menjelaskan bagaimana lawannya menghinanya dan menambah kedua-dua pihak sudah menyelesaikan isu itu.

“Dia meminta maaf kerana dia menyedari bahawa dia sudah melangkaui batas... apa yang berlaku dalam padang, kekal dalam padang,” kata Jesus ketika itu.

Pada Isnin, Jesus sekali lagi mengenepikan insiden itu di akaun rasmi laman Instagram miliknya, dengan berkata: “Saya mempertahankan pasukan dan hak saya dengan cara yang saya fikir betul.”

Ejen Acerbi, Federico Pastorello kemudian menafikan bahawa kliennya mengeluarkan kata-kata perkauman kepada Jesus dalam satu temu bual dengan penyiaran Radio Sportiva.

“Dari apa yang diberitahu oleh Acerbi, ada satu perbalahan dalam padang tetapi tidak dia tidak berkata apa-apa berkaitan perkauman,” kata Pastorello.

“Untuk lebih jelas, perkataan ‘negro’ tidak digunakan.”

Serie A Itali memberitahu agensi berita AFP bahawa laporan biasa dari “hakim sukan” liga, Gerardo Mastrandrea akan dikeluarkan pada Selasa.

Dokumen itu, yang biasanya dikeluarkan sehari selepas tamat setiap perlawanan, seharusnya mengesahkan bahawa Acerbi akan disiasat kerana insiden itu. — AFP

Advertisement